Program SejaTi MADANI Rancakkan Aktiviti Ekonomi Komuniti Setempat

Disiarkan pada 30 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


SERIAN: Program SejaTi MADANI dilaksanakan bertujuan untuk merancakkan aktiviti ekonomi komuniti setempat.

Ahli Parlimen Serian, Dato’ Sri Richard Riot Jaem berkata, ia melibatkan lima sektor tumpuan iaitu pertanian dan makanan, jahitan dan kraftangan, herba dan kesihatan, pelancongan dan hospitaliti serta aktiviti hijau dan kitar semula.

Menurut beliau, di bawah program ini juga, kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan berjumlah RM50 juta bagi Sarawak yang mana nilai geran sehingga RM100,000 boleh diberikan kepada setiap Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk menjayakan program berkenaan.

“Selaras dengan hasrat serta keputusan kerajaan negeri, hanya JKKK yang mempunyai sijil serta berdaftar dengan pejabat daerah sahaja yang layak untuk memohon peruntukan ini.

“Program SejaTi MADANI merupakan pendekatan 'bottom-up approach' di mana JKKK sendiri mengenal pasti keperluan mereka dan menentukan program yang ingin dilaksanakan berdasarkan kepada lima sektor tumpuan yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Taklimat Program Sejahtera Komuniti Madani (SejaTi MADANI) di Serian Conference Centre (SCC) pada Selasa.

Dato’ Sri Richard menambah, permohonan Program SejaTi MADANI telah dibuka secara atas talian melalui Sistem MySejaTi MADANI pada 25 Mac 2024 yang lalu di peringkat kebangsaan dan akan ditutup pada 30 September 2024.

Kata beliau lagi, program tersebut adalah merupakan inisiatif baharu Kerajaan MADANI yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri semasa pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan (2024) di Dewan Rakyat pada 13 Oktober 2023.

“Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri telah diberi tanggungjawab untuk menyelia dan menyelaras pelaksanaan Program SejaTi MADANI.

“Di peringkat Sarawak, tanggungjawab ini telah diberikan kepada Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak ataupun lebih dikenali sebagai SDO ataupun ‘State Development Office’.

“SDO melalui sesi perbincangan bersama Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki pada 19 Mac 2024 pelaksanaan program ini akan dilaksanakan bersama dengan kerjasama daripada kerajaan Sarawak seperti Unit Pentadbiran, Unit Pemantauan dan Pelaksanaan Sarawak, Unit Perancang Ekonomi Sarawak, Pejabat Residen dan juga pejabat daerah,” ujarnya. -EDISI UKAS