Kira-Kira 600 Pengamal Undang-Undang Sertai Perarakan Tahun Perundangan Sabah dan Sarawak 2025

Posted on 10 Jan 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Sempena dengan Pembukaan Tahun Perundangan Sabah dan Sarawak 2025 yang lebih dikenali sebagai ‘Opening of the Legal Year (OLY)’, kira-kira 600 pengamal undang-undang telah menyertai Perarakan Tahun Perundangan Sabah dan Sarawak 2025 bertempat di sini, pada Jumaat.

Perarakan yang bermula dari Kompleks Mahkamah Lama menempuh perjalanan sejauh 1.1 kilometer ke Hikmah Exchange Event Centre (HEEC) sekaligus menandakan permulaan rasmi tahun kehakiman bagi Sabah dan Sarawak.

Difahamkan, rombongan perarakan yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat turut disertai oleh pengamal undang-undang dari dalam dan luar negara, termasuk delegasi dari Taiwan, Singapura, Hong Kong dan Semenanjung Malaysia.

Mengiringi beliau ialah Presiden Mahkamah Rayuan Malaysia Tan Sri Datuk Amar Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abdul Rahman Sebli, Hakim Besar Malaya Dato Sri Hasnah Dato Mohammed Hashim dan Peguam Negara Dato Mohd Dusuki Mokhtar.

Usai perarakan berkenaan, satu mesyuarat tahunan telah diadakan bagi meneliti laporan, perkembangan undang-undang di Sabah dan Sarawak serta potensi cabaran masa depan yang memerlukan perhatian oleh pengamal undang-undang.

Turut serta dalam perarakan tersebut ialah Peguam Besar Sarawak Dato Sri Saferi Ali dan Peguam Besar Sabah Datuk Brenndon Keith Soh. -EDISI UKAS