STIU Terima Kunjungan Unit Korporat & Kualiti Pejabat Setiausaha Johor

Disiarkan pada 30 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU) Jabatan Premier Sarawak telah menerima kunjungan dari Unit Korporat dan Kualiti Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor sempena Lawatan Penanda Aras Pengurusan Inovasi di pejabat STIU baru-baru ini.

Ketua Unit Korporat dan Kualiti Muhammad Ammar Akmal Senan telah mengetuai rombongan diikuti dengan 22 kakitangan unit tersebut.

Difahamkan, objektif utama lawatan penanda aras ini ialah untuk memahami dengan lebih lanjut struktur pengurusan inovasi dalam Perkhidmatan Awam Sarawak dan amalan terbaik berkenaan pengurusan inovasi yang telah dilaksanakan oleh STIU.

Pengarah STIU Superi Awang Said telah memberi taklimat kepada pihak delegasi mengenai pelaksanaan dan pencapaian inisiatif transformasi dan inovasi di Sarawak.

Beliau juga berkongsi inisiatif-inisiatif lain yang dilaksanakan dalam Perkhidmatan Awam Sarawak seperti High Performance Team (HPT), Key Focus Activities 2.0 (KFA 2.0), MyPortfolio, SCS Scorecard, Innovative & Creative Circle (ICC), Anugerah Kualiti Perkhidmatan Awam Sarawak (AKPANS), My Creative Idea (MCi) dan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) dengan beberapa siri konvesyen dan pengiktirafan yang dijalankan sepanjang tahun.

Selain itu, Pengarah STIU juga menekankan tentang kepentingan kelestarian idea-idea inovatif yang telah dilakukan untuk memastikan setiap inisiatif dan idea dapat dikekalkan.

Justeru katanya, STIU kini dalam proses untuk mewujudkan Anugerah Kelestarian bagi memastikan idea inovatif yang dihasilkan oleh penjawat awam Sarawak dapat dipraktikkan dan direplikasikan dalam meningkatkan produktiviti dan penyampaian Perkhidmatan Awam Sarawak. -EDISI UKAS