Ahli Parlimen Sarikei Sumbang Kelengkapan Sekolah

Disiarkan pada 09 Jan 2025
Sumber Berita: UKAS


SARIKEI: Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato' Sri Huang Tiong Sii meneruskan usahanya membantu rakyat di kawasannya dengan menyumbang kelengkapan sekolah.

Pada Khamis, Pusat Khidmat Wakil Rakyat N.45 Repok telah mengagihkan kelengkapan sekolah untuk pelajar sekolah rendah dan menengah di Sarikei sempena pembukaan sesi persekolahan baharu 2025 selepas Tahun Baru Cina nanti.

Bantuan ini bertujuan meringankan beban ekonomi ibu bapa menjelang sesi persekolahan yang akan datang.

Setakat ini, sekolah-sekolah yang menerima bantuan tersebut adalah SJK (c) Su Hing, SJK (c) Su Lok, SK St Andrew, SJK (c) San Ming, SK Adin, SK Sg Sentebu, SJK Su Lee, SK Sarikei, SMK Tinggi Sarikei dan SMK St Anthony yang memanfaatkan seramai 2,201 pelajar.

Pasukan Pusat Khidmat Wakil Rakyat N.45 Repok yang terdiri daripada kapitan-kapitan, AJK SUPP cawangan Sarikei, Pemuda, dan Wanita dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk mengunjungi setiap sekolah.

Mereka turut berinteraksi dan beramah mesra dengan guru serta pelajar di setiap sekolah yang dikunjungi.

Dalam pada itu, pihak sekolah merakamkan penghargaan kepada Dato’ Sri Huang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok dan pasukan khidmat beliau atas sumbangan tersebut. - EDISI UKAS