Calvin Ligong Mulakan Tugas Sebagai Pegawai Daerah Tatau

Disiarkan pada 09 Jan 2025
Sumber Berita: UKAS


BINTULU: Pelantikan Pegawai Daerah Tatau yang baharu, Calvin Ligong telah diraikan dalam satu Majlis Serah dan Terima Tugas di Bilik Mesyuarat, Pejabat Daerah Tatau pada Khamis.

Beliau menggantikan mantan Pegawai Daerah Tatau Jabang Juntan yang kini berpindah ke Pejabat Daerah Bukit Mabong.

Calvin Ligong yang telah melapor diri pada 2 Januari lalu kini memegang jawatan sebagai Pegawai Daerah Tatau yang ke-14 sejak kewujudan Pentadbiran Daerah Tatau pada tahun 1987.

Tatau, yang terletak di Bahagian Bintulu, Sarawak, memiliki keluasan sekitar 4,945.85 km², di mana ia meliputi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kakus dan sebahagian daripada DUN Jepak serta DUN Belaga.

Pusat Pentadbiran Daerah Tatau pula terletak di Pekan Tatau, yang berjarak kira-kira 60 km dari Bandar Bintulu.

Turut hadir semasa majlis tersebut adalah Penolong Pegawai Daerah Tatau Winnie Dian, Pemanca Gerosen Jubin serta Ketua-Ketua Jabatan dan Ketua Masyarakat di Daerah Tatau.

Peralihan tugas ini juga disaksikan oleh pemimpin-pemimpin masyarakat tempatan yang menyaksikan kesinambungan kepimpinan yang stabil dan kukuh di daerah tersebut.-EDISI UKAS