SRDC Tingkat Kedudukan Sarawak Sebagai Peneraju Dalam Inovasi Teknologi

Disiarkan pada 09 Jan 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak (SRDC) merupakan badan berkanun yang bertanggungjawab mengawasi dan memberikan arahan bagi penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Sarawak.

Pengarahnya, Ts Dr Peter Morin Nissom berkata SRDC sedang melaksanakan tiga projek penting iaitu, Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak bertujuan untuk memperkukuhkan penyelidikan dan penanganan penyakit di Sarawak.

Selain itu katanya, dua lagi projek yang dilaksanakan adalah Pusat Sains Sarawak dan Sarawak Micro Semiconductor Design Sdn Bhd.

“SRDC sedang melakukan tiga projek penting iaitu, Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak – Projek ini diketuai oleh Dr. Ivan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif ini bertujuan untuk memperkukuhkan penyelidikan dan penanganan penyakit di Sarawak.

“Kedua, Pusat Sains Sarawak dan ketiga, Sarawak Micro Semiconductor Design Sdn Bhd,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengetuai delegasi SRDC melakukan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi di Kesuma Resort, Petra Jaya pada Khamis.

Ts Dr Peter Morin menambah, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi turut memberikan sokongan penuh kepada inisiatif-inisiatif SRDC.

“Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi juga menyatakan keterujaannya terhadap perbincangan yang diadakan serta berkongsi pengalaman beliau bersama institusi seperti Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Mass Rapid Transit (MRT).

“Sokongan beliau diyakini akan menjadi pemangkin kepada kemajuan penyelidikan dan pembangunan di negeri ini,” tambahnya lagi.

Jelasnya, dengan sokongan berterusan daripada kerajaan negeri, SRDC optimis bahawa ketiga-tiga projek ini akan mencapai kejayaan yang signifikan dan seterusnya meningkatkan kedudukan Sarawak sebagai peneraju dalam inovasi teknologi. - EDISI UKAS