BETONG: Pendidikan terus diberikan keutamaan di kawasan Saribas selaras dengan komitmen kerajaan untuk membentuk generasi muda yang cemerlang dan berdaya saing.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam menekankan betapa pentingnya pendidikan sebagai tunjang utama pembangunan masyarakat dan negara.
Justeru katanya, kerajaan akan terus melabur dalam sektor ini kerana pendidikan adalah pelaburan terbaik untuk masa depan.
“Pendidikan adalah kunci kepada kemajuan negara. Kita akan terus berusaha memastikan setiap sekolah di Saribas mendapat sokongan dan kemudahan yang diperlukan untuk melahirkan pelajar yang berkualiti dan berdaya saing,” katanya semasa merasmikan Majlis Persaraan Guru SK Bungin di Dewan SK Bungin, Spaoh, pada Khamis.
Beliau turut menyatakan bahawa kerajaan akan terus memberikan perhatian kepada keperluan sekolah-sekolah di kawasan Saribas dengan menyalurkan bantuan secara saksama berdasarkan keperluan semasa setiap sekolah.
“Kami berkomitmen untuk memastikan pendidikan di Saribas terus berkembang dengan baik, sesuai dengan perkembangan teknologi dan keperluan masa kini.
“Kemudahan pendidikan yang berkualiti akan terus ditambah baik untuk manfaat semua pelajar,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas.
Beliau juga mengakui cabaran yang dihadapi pendidik dalam era teknologi namun menegaskan bahawa guru masih memainkan peranan penting dalam membimbing generasi muda.
Kerajaan katanya akan terus menyokong usaha guru dalam menyesuaikan diri dengan perubahan dan memastikan pendidikan di Saribas kekal relevan.
“Kita mahu memastikan setiap anak-anak di Saribas mendapat peluang yang sama untuk berjaya. Mereka adalah aset yang paling berharga bagi masyarakat dan negara,” tambah beliau.-EDISI UKAS