Bantuan Peranti Digital Demi Masa Depan Golongan Muda

Posted on 09 Jan 2025
Source of News: UKAS


KOTA SAMARAHAN: Program Didik Kasih MADANI (dKasih): Bantuan Peranti MADANI (PERMAI) merupakan satu lagi inisiatif kerajaan untuk menyediakan pendidikan berkualiti kepada pelajar.

Menurut Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang, program ini bertujuan menyediakan sokongan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah yang berdaftar dalam sistem eKasih.

Katanya, program ini menyasarkan untuk memastikan tiada pelajar yang tercicir dalam pembelajaran akibat kekurangan akses kepada teknologi.

“Tujuan kita menyediakan peranti-peranti kepada pelajar-pelajar universiti kerana kita ingin membantu mereka dalam pembelajaran.

“Dunia teknologi zaman kini yang bergerak pantas memerlukan semuanya di hujung jari, jadi mereka akan lebih mudah mempelajari dan mendapat maklumat dengan menggunakan inisiatif yang disediakan oleh kerajaan ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Didik Kasih MADANI (dKasih): Bantuan Peranti MADANI (PERMAI) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak pada Khamis.

Ahli Parlimen Kota Samarahan itu turut menyeru agar pelajar memanfaatkan bantuan komputer riba ini dengan bijak dan bertanggungjawab, melihatnya sebagai peluang untuk mengubah kehidupan mereka dan keluarga.

“Anda semua adalah pelaburan masa depan negara. Berusaha tanpa henti dan jangan pernah berputus asa dalam mengejar ilmu,” tambahnya.

Program melibatkan kerjasama antara Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) dan Bank Muamalat Malaysia Berhad menyaksikan sebanyak 15 unit komputer riba disampaikan kepada pelajar yang layak. - EDISI UKAS