Sarawak Peruntuk RM14 Juta Untuk Pendidikan Awal Kanak- Kanak

Disiarkan pada 09 Jan 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti telah meluluskan peruntukan sebanyak RM14 juta untuk 2,800 institusi pendidikan awal kanak-kanak berdaftar di seluruh negeri bagi tahun ini.

Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Abang Abdul Aziz Abang Draup berkata ia merupakan tanggungjawab sosial kerajaan untuk meningkatkan mutu pendidikan bermula di peringkat pra-sekolah.

“Ini merupakan tanggungjawab sosial kerajaan untuk meningkatkan mutu pendidikan dalam kalangan generasi muda bermula di peringkat pra-sekolah,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Apresiasi Kanak-Kanak Tabika/Taska Permata Kemas Parlimen Petra Jaya 2024/2025 di sini pada Khamis.

Tambah beliau, Sarawak bakal menjadi negeri pertama di Malaysia yang akan menawarkan pendidikan percuma kepada semua anak-anak Sarawak menjelang tahun 2026.

Katanya, inisiatif ini turut melibatkan lima universiti milik Sarawak, termasuk pusat latihan seperti i-CATS dan CENTEX, di bawah skim tersebut.

Oleh itu, beliau menyeru ibu bapa untuk mengambil peluang ini dengan memastikan anak-anak mereka bersedia dan bersemangat memanfaatkan kemudahan yang disediakan.

“Langkah ini memastikan akses kepada pengajian tinggi di universiti terjamin untuk anak-anak Sarawak tanpa mengira kaum, agama, dan latar belakang.

"Namun, kejayaan inisiatif ini bergantung kepada usaha kita sebagai ibu bapa dan anak-anak untuk merebut peluang pendidikan yang telah disediakan oleh kerajaan negeri,” jelasnya.

Seramai 520 kanak-kanak daripada Tabika dan Taska Permata Kemas seluruh kawasan Parlimen Petra Jaya diraikan pada majlis tersebut yang berlangsung dengan tema ‘fairy tale’.-EDISI UKAS