130 Penduduk Batu Danau Sertai Program Kesedaran Alam Sekitar

Disiarkan pada 30 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


LIMBANG: Lebih daripada 130 peserta terdiri daripada penduduk tempatan kawasan Batu Danau telah menyertai Program Kesedaran Alam Sekitar di Dewan Kampung Pangkalan Madang Limbang pada Jumaat dan Sabtu lepas.

Program anjuran Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak Bahagian Limbang dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pangkalan Madang Limbang ini dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Dato Paulus Palu Gumbang.

Menurut Controller Kualiti Alam Sekitar Jack Liam, program kali ini bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai isu-isu berkaitan pencemaran sungai, pembakaran terbuka dan implikasi pencemaran terhadap kesihatan sejagat.

“Jadi, saya menyeru kepada penduduk tempatan di bahagian Limbang, khasnya kawasan Batu Danau untuk memastikan kualiti udara sentiasa berkeadaan baik, mengelakkan aktiviti pembakaran terbuka yang boleh menyebabkan keadaan berjerebu, terutamanya pada musim kering berpanjangan atau musim kemarau. 

“Jika pembakaran terbuka perlu dilakukan untuk tujuan aktiviti pertanian, para petani perlulah lebih berhati-hati agar ianya tidak merebak sehingga tidak terkawal dan berlakunya bencana jerebu,” katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Controller Kualiti Alam Sekitar Paul Bond Chamberlin ketika majlis perasmian program tersebut pada Sabtu.

Selain itu, antara agensi yang menyampaikan ceramah pada program tersebut adalah Majlis Daerah Limbang, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Limbang, Pejabat Kesihatan Limbang dan Perbadanan Perhutanan Sarawak Limbang. -EDISI UKAS