KMKK Perlu Sampaikan Polisi Kerajaan

Disiarkan pada 30 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


LIMBANG: Sebagai pemimpin di akar umbi, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) perlu menyampaikan polisi-polisi kerajaan kepada anak buah di kampung.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, KMKK dinilai mempunyai kemampuan untuk menjalankan tugas sebagai mata dan telinga kerajaan serta hati nurani kerajaan.

Justeru katanya, tugas KMKK adalah menyampaikan polisi kerajaan yang terkini dan juga menyampaikan permohonan penduduk kampung kepada pihak kerajaan.

“Rakyat berhak menuntut kepada kerajaan memerintah untuk membawa pembangunan, mewujudkan kehidupan yang aman sejahtera, bersatu padu dalam kepelbagaian etnik, bertoleransi dan kerajaan yang pandai mencari duit menambah pendapatan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Sambutan Program Ramah Tamah Aidilfitri di Dewan Serbaguna Kampung Pabahanan pada Ahad.

Justeru, beliau berharap KMKK dapat mentadbir kawasan masing-masing dengan baik kerana prestasi secara langsung dan tidak langsung akan memberikan kesan kepada prestasi mereka yang berada di atas seperti Pegawai Daerah dan Residen termasuklah wakil rakyat.

Tegasnya, pihak kerajaan membuat pemantauan dan penilaian prestasi KMKK yang dilantik dalam tempoh perkhidmatan mereka.

“Kita tidak dapat lari dari proses penilaian, tuan-tuan akan terus dinilai dari masa ke semasa samalah seperti wakil rakyat di mana prestasi kami juga dinilai oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg,” jelasnya. -EDISI UKAS