MIRI: Sambutan perayaan Tahun Baharu Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Tudan mencerminkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, sambutan itu juga turut mengetengahkan keunikan budaya Cina di negeri ini.
“Sambutan seperti ini adalah platform terbaik untuk memupuk kefahaman budaya dan membina hubungan erat antara komuniti berbilang etnik di Sarawak.
“SJKC Chung Hua Tudan ini mempunyai lebih 70 peratus pelajarnya adalah Bumiputera sejati dan selebihnya (30 peratus) adalah Cina.
“Oleh itu, acara seumpama ini dapat memperkenalkan warisan budaya masyarakat Cina kepada pelajar pelbagai kaum, sekaligus memupuk semangat menghormati kepelbagaian,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Sambutan Tahun Baharu Cina dan Majlis Penyampaian Ang Pow di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Tudan pada Khamis.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu menambah, rakyat Sarawak bertuah kerana dapat hidup dalam suasana harmoni di mana perayaan seperti Tahun Baru Cina, Hari Raya, Hari Gawai, dan Krismas diraikan bersama-sama tanpa mengira kaum atau agama.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada guru-guru atas dedikasi dalam pendidikan, terutamanya dalam mengajar subjek Bahasa Cina kepada majoriti pelajar yang berbangsa lain.
Dato Sri Lee juga berkesempatan menyampaikan ang pow kepada para pelajar sebagai simbol keberkatan dan kesejahteraan untuk tahun baharu yang menjelang tiba.
Turut hadir ialah Guru Besar SJKC Chung Hua Tudan Law Sie Kong, Kapitan Ngieng Hock Diing dan Kaunselor Jeffrey Phang. -EDISI UKAS