Perdana Menteri Yakin Sarawak Menjadi Hab Peralihan Tenaga Rantau Ini

Disiarkan pada 09 Jan 2025
Sumber Berita: UKAS


KUALA LUMPUR: Sarawak diyakini menjadi hab peralihan tenaga rantau ini menerusi potensi hubungan perlaburan dan perdagangan dengan negara luar.

Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, siri pertemuan dengan pemimpin dunia termasuk Presiden Indonesia dan Perdana Menteri Jepun akan membentuk kekuatan ekonomi terutamanya dalam bidang digital dan peralihan tenaga.

“Presiden Indonesia, Prabowo Subianto akan mengadakan perjumpaan dengan saya bersempena lawatan rasmi beliau yang dilihat mampu memperkasa kerjasama ekonomi antara Malaysia-Indonesia termasuk dalam bidang digital.

“Dan pada esok, Perdana Menteri Jepun juga akan sampai ke Malaysia. Kita akan berbincang beberapa isu pelaburan dan perdagangan.

“Kita berharap perbincangan itu akan menjadikan Malaysia khususnya Sarawak sebagai hab tenaga bagi rantau ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama Forum Ekonomi Malaysia (FEM) 2025 di sini, pada Khamis.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri-menteri Kabinet dan tetamu kehormat yang lain.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, kepengerusian ASEAN menjadi kesempatan untuk membina kekuatan bersama rakyat ASEAN dan membawa manfaat kepada negara ini bersama yang lain.

"Ini yang kita tekankan bersama Perdana Menteri Singapura. Dia tidak lagi umpamanya menganggap kekuatan yang harus di Malaysia dan yang lain itu hanya dipinggirkan atau di Singapura, Thailand atau yang lain dipinggirkan.

"Tetapi kita juga mencari jalan dan kaedah untuk menyelesaikan termasuklah membincangkan isu-isu yang merumitkan kita seperti Myanmar. Kerana persyarat utama untuk mengangkat kekuatan ekonomi adalah keamanan, kestabilan politik, dasar yang jelas, dasar ekonomi yang dapat membangun kekuatan melalui penglibatan sektor swasta dan kecekapan sektor awam," tegasnya.

Sementara itu, Perdana Menteri menyifatkan FEM 2025 memberi ruang kepada negara itu untuk lebih fokus dan mengenalpasti strategi dalam usaha memperkasakan lagi kekuatan ekonomi negara ini.

Ujarnya, peluang ekonomi baharu yang perlu diterokai memaksa Malaysia untuk tidak terus ketinggalan.

"Walaupun seperti mana industri semikonduktor di Pulau Pinang itu agak lama, tetapi kalau tidak sedia untuk meneroka bidang baru, kita akan ketinggalan.

"Kita harus ada kekuatan yang menyeluruh supaya kekuatan ini dapat membantu kita mengangkat segalanya," tambah beliau. -EDISI UKAS