Bintulu Tuan Rumah Sambutan Hari Belia Negara 2024 Peringkat Negeri Sarawak

Disiarkan pada 30 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


BINTULU: Bahagian Bintulu telah dipilih sebagai tuan rumah bagi Sambutan Hari Belia Negara 2024 Peringkat Negeri Sarawak.

Perkara tersebut diumumkan oleh Timbalan Residen Bintulu Abang Zainuddin Abang Turkey semasa sidang media setelah mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Induk bagi program tersebut pada Isnin.

Menurutnya, Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Sarawak akan diadakan pada 18 Mei 2024 di Universiti Putra Malaysia, Kampus Bintulu.

Ujarnya, empat objektif dilaksanakan untuk sambutan kali dengan menekankan kepentingan belia dalam negeri dan negara.

“Objektif pertama adalah penghargaan dan pengiktirafan daripada pihak kerajaan kepada golongan belia yang menyumbang kepada pembangunan negara.

“Kedua, memberi semangat dan meningkatkan kesedaran kepada golongan belia bahawa di kala negara dan dunia dilanda pandemik, golongan belia masih mendapat perhatian daripada pihak kerajaan.

“Ketiga, menaikkan semangat kecintaan dan patriotisme kepada golongan belia supaya terus menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.

“Manakala keempat, menyediakan platform strategik kepada pemegang taruh untuk menyumbang kepada pembangunan belia,” katanya.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dijangka hadir bagi merasmikan sambutan tersebut.

Selain itu, sambutan kali ini akan meraikan tiga kategori bagi Anugerah Perdana Negara 2024 iaitu kategori Individu Lelaki, Individu Wanita dan Pertubuhan Belia.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Lamat Nyalau menjangkakan lebih 80,000 orang peserta bagi keseluruhan negeri Sarawak disebabkan penganjuran kali ini diadakan serentak untuk setiap bahagian di Sarawak.

Katanya, untuk di Bintulu pihaknya menyasarkan seramai 30,000 orang peserta. - EDISI UKAS