KUCHING: Rakyat Sarawak yang layak menerima Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) dinasihatkan agar tidak tergesa-gesa untuk menuntut bantuan tersebut.
Ini kerana tuntutan SKAS adalah dibuka sepanjang tahun ini dan boleh dituntut pada bila-bila masa sebelum Disember tahun 2025.
SKAS yang diumumkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa pembentangan Belanjawan Sarawak 2025 pada November tahun lepas akan disalurkan secara berperingkat melalui aplikasi e-dompet S Pay Global bermula 18 Februari 2025.
SKAS juga akan dilancarkan di Bahagian Serian pada tarikh yang sama.
Bagaimanapun, rakyat Sarawak yang layak dan belum mendaftar dengan S Pay Global tidak perlu risau kerana pendaftaran adalah dibuka sepanjang tahun.
Ini kerana mereka juga boleh melakukan pendaftaran SKAS di rumah atau di mana-mana preemis tanpa perlu ke kaunter S Pay Global jika mempunyai jaringan internet.
Untuk rekod, SKAS merupakan bantuan kewangan kepada golongan berpendapatan rendah melalui baucar digital yang boleh diakses melalui S Pay Global untuk pembelian barangan makanan asas.
Mereka yang layak adalah rakyat Sarawak yang mempunyai kad pengenalan 'K' yang menetap di Sarawak dan merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 4 tahun 2024 berdasarkan maklumat LHDN.
Dengan inisiatif baharu ini, diharapkan rakyat Sarawak dapat memanfaatkan bantuan SKAS untuk memenuhi keperluan asas mereka dan terus menyokong usaha kerajaan dalam memperkukuh kesejahteraan rakyat.
Mereka yang tidak tersenarai dalam STR tetapi memenuhi kriteria kelayakan boleh mengemukakan permohonan mulai 1 Februari hingga 31 Mac 2025.
Menerusi peruntukan sebanyak RM464.5 juta, inisiatif ini dijangka memanfaatkan kira-kira 886,288 penerima di seluruh Sarawak merangkumi 410,529 isi rumah, bujang (361,295 penerima) dan warga emas tiada pasangan tiada anak (114,464 penerima).
Dalam pada itu, Kerajaan Sarawak akan menggerakkan jentera pentadbiran di seluruh Sarawak bagi membantu melaksanakan program SKAS, termasuk semua Residen dan Pegawai Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan, Service Sarawak Centre dan lain-lain jentera pentadbiran. -EDISI UKAS