DARO: Kejayaan seorang murid dalam pelajaran dan kehidupan tidak hanya bergantung kepada usaha mereka sendiri, tetapi turut dipengaruhi sokongan dan bimbingan yang diberikan oleh ibu bapa serta pihak sekolah.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, kerjasama antara ibu bapa dan guru merupakan kunci utama untuk membentuk individu yang cemerlang dalam akademik dan sahsiah diri.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan ibu bapa untuk sentiasa berinteraksi dengan pihak sekolah dan mengikuti perkembangan anak-anak, sambil merancang langkah-langkah yang dapat meningkatkan pencapaian mereka di dalam dan luar bilik darjah.
"Selain memastikan kehadiran ke sekolah, ibu bapa juga bertanggungjawab untuk menyokong anak-anak dalam pembelajaran, menyokong mereka ketika berdepan cabaran dan memberi semangat untuk terus berjaya.
"Kita perlu menjadi contoh teladan dan motivator utama dalam hidup anak-anak kita,"katanya ketika menyempurnakan Majlis Konvokesyen Tahun 6, Graduasi Pra Sekolah dan Majlis Apresiasi Kecemerlangan Murid Sesi 2024/2025 Sekolah Kebangsaan (SK) Camporan Daro, di Dewan Masyarakat Daro pada Selasa.
Dalam majlis itu, beliau telah menyampaikan sijil dan hadiah kepada murid-murid yang mencapai kecemerlangan dalam akademik, kokurikulum, serta pembangunan sahsiah.
Penghargaan juga diberikan kepada para guru yang telah berkhidmat dengan penuh dedikasi dalam mendidik generasi masa depan.
Turut hadir ialah Pegawai Pendidikan Daerah Daro Omar Remain, Guru Besar SK Camporan Daro Norden Tamin serta Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Camporan Daro Wan Muhaini Wan Mahsen.-EDISI UKAS