KMKK Pikul Tanggungjawab Besar, Harus Bersedia Membantu Rakyat

Disiarkan pada 30 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


SARIKEI: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) memikul tanggungjawab besar diamanahkan kepada mereka, menurut Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Dato' Sri Huang Tiong Sii.
 
Katanya, KMKK merupakan pemimpin di kawasan tertentu, sentiasa bersedia untuk mendengar dan membantu rakyat supaya keperluan rakyat diberi perhatian sewajarnya.
 
Selain itu katanya, salah satu fungsi utama KMKK adalah  memastikan perpaduan dan keharmonian dalam kalangan komuniti masing-masing, berusaha memupuk persefahaman antara satu sama lain dan memastikan semua rakyat mendapat hak yang sama rata.
 
“Kita perlu memegang jawatan ini dengan penuh komitmen dan dedikasi. Bersama rakyat kawasan, kita mengatasi cabaran dan mencapai kejayaan bersama.
 
“Semoga khidmat kepada rakyat  dipenuhi dengan kejayaan, harapan, dan kesejahteraan untuk penduduk setempat,” katanya pada Majlis Penyerahan Sijil Perlantikan Semula Ketua Masyarakat & Ketua Kaum (KMKK) Daerah Sarikei bagi Kawasan DUN N.45 Repok di Pejabat Residen Bahagian Sarikei pada Isnin.
 
Dato' Sri Huang yang juga Ahli Parlimen Sarikei merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok juga  mengucapkan terima kasih kepada Residen Bahagian Sarikei, Michael Ronnie Langgong kerana meluangkan masa hasir sama dalam majlis ini.  
 
Beliau juga mengucapkan tahniah kepada 30 orang KMKK yang dilantik semula untuk memimpin komuniti di kawasan itu.
 
“Anda telah dipilih kerana kepercayaan dan sokongan yang diberikan.
 
“Majlis pada petang ini merupakan satu majlis yang penting untuk Komuniti DUN Repok di mana sijil perlantikan semula KMKK akan disampaikan kepada KMKK untuk melanjutkan khidmat kepada rakyat dan mempengaruhi arah masa depan kita.”
 
Dalam majlis ini, seramai  30 orang KMKK Daerah Repok telah menerima Sijil Pelanjutan Semula iaitu seorang Temenggong, tiga Penghulu, 15 Kapitan dan 11  Tuai Rumah. - EDISI UKAS