NADMA Hantar 12 Unit Kontena Jambatan Keluli Bermodular Ke Sarawak

Disiarkan pada 08 Jan 2025
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Satu majlis 'flag-off' bagi penghantaran 12 unit kontena yang membawa jambatan keluli bermodular atau 'bailey bridge' Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kepada Kerajaan Sarawak telah dilaksanakan dengan jayanya di Lembaga Pelabuhan Miri pada Isnin.

Ini merupakan antara persediaan awal NADMA dalam menghadapi gelombang kedua Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025 dengan menghantar Jambatan Bailey ke Sabah dan Sarawak.

Inisiatif ini diambil untuk meningkatkan kesiapsiagaan logistik bencana, sejajar jangkaan keperluan serta kejayaan penggunaan Jambatan Bailey terdahulu dalam memulihkan gangguan jaringan jalan perhubungan yang terjejas akibat kerosakan jambatan.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Residen Bahagian Miri, Galong Luang dan dihadiri oleh lebih 40 orang wakil daripada pelbagai agensi serta pihak berkenaan.

Penghantaran kontena tersebut dilakukan dalam dua sesi berasingan dengan enam unit pertama dihantar pada jam 9 pagi, diikuti penghantaran enam unit selebihnya pada jam 2 petang.

Konvoi penghantaran pula telah diiringi oleh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Miri untuk memastikan keselamatan perjalanan.

Sementara itu, kontena pertama tiba di Jabatan Kerja Raya (JKR) Miri pada jam 10.33 pagi, manakala penghantaran kedua tiba tepat pada jam 4 petang.

Kedua-dua penghantaran tersebut disambut oleh wakil Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri, Nora Shafia Muhiyuddin.

Dalam pada itu, jambatan keluli bermodular yang dihantar akan dipasang di kawasan pedalaman Baram dalam tempoh enam bulan.

Turut hadir, Pegawai Daerah Miri Siti Rohanie Yusof serta pegawai-pegawai kerajaan yang lain.-EDISI UKAS