UOB Malaysia Terus Komited Sokong Pembangunan Ekonomi Sarawak

Disiarkan pada 30 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS
 
KUCHING: UOB Malaysia terus komited untuk menyokong pertumbuhan ekonomi dan pembangunan perindustrian Sarawak sekaligus mengutamakan agenda kemampanan negeri.
 
Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, pihaknya telah menyokong pembangunan infrastruktur Sarawak dan perniagaan tempatan untuk meningkatkan daya saing dalam rantaian bekalan global.
 
Menurut beliau, dengan memanfaatkan kepakaran UOB Malaysia dalam kemampanan, pihaknya juga akan terus membantu Sarawak merealisasikan hasrat untuk menjadi hab serantau bagi tenaga boleh diperbaharui dan hab hijau bagi sektor yang sedang pesat membangun. 
 
“Ia juga merupakan peluang yang baik untuk kami berkongsi tentang bagaimana UOB terus menyokong Sarawak dalam rancangan pembangunan ekonominya.
 
“Sepanjang tiga tahun lepas, UOB telah menyediakan hampir RM6 bilion pembiayaan kepada syarikat yang berpangkalan di Sarawak dan lebih separuh daripadanya adalah kepada Perusahaan Kecil Sederhana (PKS). 
 
“Saya yakin kami boleh membantu perniagaan tempatan untuk membuktikan perniagaan mereka pada masa hadapan melalui penggunaan pendigitalan serta amalan hijau.
 
“Kami juga telah melabur banyak untuk menyokong pembangunan infrastruktur Sarawak serta agenda hijau,” katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini pada Selasa. 
 
Dalam pada itu, Ng menambah, beliau ingin meneruskan legasi pengasas UOB iaitu mendiang Datuk Wee Kheng Chiang yang berasal dari Sarawak untuk menyokong pertumbuhan di negeri ini.
 
Untuk rekod, kunjungan hormat tersebut adalah sebahagian daripada penglibatan berterusan UOB Malaysia dengan kerajaan Sarawak untuk menyokong mencapai aspirasi Sarawak yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca-Covid 19 (PCDS) 2030.
 
Turut hadir, Ketua Pegawai Kelestarian UOB Malaysia, Moreen Joseph. 
 
Premier Sarawak selepas itu turut menerima kunjungan hormat daripada Northbank Specialist Hospital Sdn. Bhd. -EDISI UKAS