SJK Chung Hua Sungai Tapang dan SMK Jalan Arang Pertahan Kejuaraan Program Pembangunan Tenpin Boling Antara Sekolah SSC-ABAS-Senator

Disiarkan pada 06 Jan 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: SJK Chung Hua Sungai Tapang dan SMK Jalan Arang berjaya mempertahankan gelaran juara keseluruhan pada Program Pembangunan Tenpin Boling Antara Sekolah SSC-ABAS-Senator yang berakhir di Megalanes Searawak, Emart Batu Kawa pada Ahad.

SJK Chung Hua Sungai Tapang yang diketuai guru pengajar dan guru bertanggungjawab tenpin boling, Kong Yek Ping dan guru pengajar, Chong Ling Ling mengumpul 218 mata dengan 15,546 jatuhan pin untuk mengungguli pertandingan disertai sebanyak 28 sekolah rendah.

Dominasi mereka sukar digugat apabila menyapu bersih kategori beregu utama tiga dan bawah dengan Eliene Kho Tan Tzi Ling dan Isabel Mok Yi Nuo mengungguli beregu perempuan dan Edward Choo Jia Jing-Jonas Yap Zao Min, David Tiong Ing Liang-Jared Yap Zao Fung dan Jee Kim Jun-Anson Ten Shan Keong berjaya menyapu bersih tiga tempat teratas dalam acara beregu lelaki.

Kejayaan mereka diserikan lagi dengan kemenangan dalam kategori berempat menerusi Eilene Kho, Isabel Mok, Elleanore Elvin Ray dan Quin Irish Guang Yii Hui (berpasukan perempuan) dan gandingan Edward Choo Jia Jing, Jared Yap, David Tiong dan Jonas Yap (berpasukan remaja lelaki).

Turut menyumbang mata kepada kemenangan mereka ialah Chelsyn Yong Jia Xin, Joanne Yong Jia Eng, Kueh Wan Ting dan Claudia Scarlet Chillter (pasukan perempuan empat darjah enam ke bawah) dan Jonas Yap (perseorangan lelaki dan All Event lelaki darjah tiga ke bawah).

Sementara itu, SMK Jalan Arang mengesahkan kejuaraan kategori sekolah menengah apabila berjaya melakukan 14,093 jatuhan pin untuk mengumpul 111 mata bagi menewaskan 21 sekolah lain.

Pingat emas dimenangi oleh Gerald Ethan Tony dan Joses Ivan Tony (beregu lelaki tingkatan dua dan ke bawah), Aaron Voon Shun Jie-Harris Hum Yu Cheng (beregu lelaki tingkatan enam ke bawah), Alvin Voon Dong Cheng, Chai Yew Hong, Gerald Ethan Tony dan Joses Ivan Tony (pasukan lelaki berempat tingkatan menengah dua dan ke bawah), Gerald Ethan (All Event lelaki menengah tingkatan dua dan ke bawah).

Mata yang diberikan untuk emas, perak, gangsa dan tempat keempat masing-masing ialah 15, 10, tujuh dan lima.

Pertandingan selama tiga hari itu disertai 220 peserta dari 50 sekolah rendah dan menengah termasuk 39 guru pengajar.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) Khairul Nizam Morshidi, Timbalan Presiden Persatuan Tenpin Boling Amatur Sarawak (ABAS) Shaifulbahri Shukri dan Jurulatih Program Pembangunan ABAS Jerusha Chan Poe Yin menyampaikan hadiah kepada pemenang. - EDISI UKAS