BRUIT: Peserta Program Lanjutan Pemprosesan Produk-produk Mee diseru agar memanfaatkan ilmu yang diperoleh melalui kursus ini untuk menjana pendapatan, meningkatkan ekonomi rumahtangga serta memperkasa sosioekonomi komuniti.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abdul Wahab berkata program tersebut mencatat kejayaan besar dengan melahirkan beberapa pengusaha dan pembekal mee kuning untuk pasaran di Tanjong Manis, Belawai, Rajang, Jerijih dan kawasan sekitarnya.
“Program ini selari dengan objektif Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang membuka peluang kepada peserta untuk berdikari dan berjaya dalam bidang diceburi.
“Selain itu, peserta juga boleh meneroka industri hiliran berasaskan produk mee yang sesuai diusahakan secara kecil-kecilan,” katanya berucap dalam Majlis Penutupan Program Lanjutan Pemprosesan Produk-produk Mee di Dewan Masyarakat Kampung Bruit pada Ahad.
Dalam ucapannya, Ir Yusuf turut mencadangkan agar Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia mengenai Matlamat Pembangunan Lestari (APPGM-SDG) memperkenalkan lebih banyak program kemahiran lain, termasuk untuk golongan lelaki dan belia, supaya latihan bersifat lebih menyeluruh dan membawa impak yang lebih besar kepada komuniti.
“Saya berharap hasil latihan ini mampu membuka jalan kepada peserta untuk meneroka pasaran lebih luas dan terus berjaya dalam bidang masing-masing,” tambah beliau lagi.
Program ini bukan sahaja memberi kemahiran praktikal kepada peserta, tetapi juga membantu membangunkan ekonomi setempat menerusi penghasilan dan pemasaran produk tempatan.
Kejayaan beberapa pengusaha yang lahir dari program ini menjadi bukti keberkesanan latihan yang dianjurkan, sekali gus menyerlahkan potensi besar industri hiliran dalam komuniti.-EDISI UKAS