MIRI: Perpaduan kaum dan kestabilan politik adalah kunci utama kepada pertumbuhan ekonomi Sarawak.
Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, negeri ini berjaya merekodkan pendapatan kira-kira RM14 bilion pada tahun lepas.
Menurutnya, kejayaan itu bukan sahaja bergantung kepada hasil minyak dan gas, tetapi juga inisiatif ekonomi hijau dan digital yang memperkukuh kedudukan ekonomi Sarawak.
“Perpaduan dan kestabilan politik adalah kunci utama kejayaan Sarawak. Kita amat bertuah dapat hidup dalam suasana yang meraikan kepelbagaian agama, budaya, dan bahasa.
"Di bawah kepimpinan Premier Sarawak, negeri ini telah mencapai banyak kejayaan, termasuk peningkatan pendapatan kepada lebih RM14 bilion, iaitu lebih dua kali ganda sejak beliau mengambil alih tampuk kepimpinan,” katanya semasa Majlis Perayaan Krismas 2024 dan Tahun Baru 2025 di Dewan Balau, Wisma Melanau Miri pada Sabtu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu juga menyeru semua pihak untuk terus mengekalkan keharmonian dan perpaduan yang menjadi asas kestabilan Sarawak.
Jelasnya lagi, kehidupan masyarakat Sarawak yang unik adalah sesuatu yang harus dijaga dan dipertahankan.
“Di Sarawak, kita boleh meraikan pelbagai perayaan bersama-sama. Tidak kira sama ada Krismas, Tahun Baru Cina atau Gawai, masyarakat kita meraikannya sebagai satu keluarga besar,” tambah beliau.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kesihatan Dato Lukanisman Awang Sauni, ADUN Balingian merangkap Timbalan Pengerusi Persekutuan Persatuan Melanau Sarawak Abdul Yakub Arbi, Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap ADUN Pujut, Adam Yii Siew Sang serta tetamu kehormat lain.-EDISI UKAS