Skuad Bola Sepak Sarawak Sedia Menangi 'Ibu Segala Pingat' Ulangi Sejarah SUKMA 1990

Disiarkan pada 30 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Skuad bola sepak Sarawak bersedia untuk memenangi ‘ibu segala pingat’ pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024.

Ini akan mengulangi sejarah kemenangan pada tahun 1990 di mana Sarawak dinobatkan pemenang pingat emas dalam acara bola sepak pada edisi ketiga SUKMA yang dianjurkan buat pertama kalinya di Sarawak.

Sesi perjumpaan bersama atlet bolasepak SUKMA Sarawak ini terdiri daripada 30 orang ‘long list’ untuk pasukan bolasepak Sarawak bagi SUKMA Ke-21 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) merangkap Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) Awang Putrayusrie Awang Redzuan, berkata pertemuan selama sejam bersama atlet ini di Miri merupakan pertemuan rasmi beliau yang pertama bagi mengenalpasti keperluan atlet yang perlu diberikan perhatian oleh pihak pengurusan.

“Seperti kita sedia maklum, pasukan Sarawak akan terlibat dalam acara bolasepak lelaki dan wanita.

“Pertemuan pada kali ini adalah untuk mengenali lebih dekat atlet kita, keperluan-keperluan atlet yang perlu kita tangani segera dan saya dah dapat beberapa perkara isu yang diketengahkan oleh pasukan bolasepak kita dan kita perlu tangani perkara tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi temubual bersama pihak media di Miri semasa lawatan tersebut baru-baru ini.

Katanya, perlawanan peringkat kumpulan bolasepak SUKMA pada edisi kali akan berkampung di Mukah.

“Saya juga sedia maklum bahawa pasukan bolasepak Sarawak pada kali ini keseluruhannya baru yang tiada pengalaman dalam SUKMA, maksudnya team yang ada sekarang adalah team baru yang kita bentuk.

“Kita berharap dengan program latihan dan pendedahan perlawanan yang kita buat bersama jurulatih kita dapat membentuk pemain muda ini bersedia bagi SUKMA XXI Sarawak 2024,” ujarnya.

Meskipun skuad Sarawak dibarisi pemain muda yang baru dibentuk, namun beliau optimis dengan semangat, komitmen, disiplin serta halatuju yang jelas untuk mencapai yang terbaik dalam acara ini.

Untuk rekod, Sarawak sudah lama ketandusan pingat emas dalam acara bola sepak SUKMA, kali terakhir ialah pada tahun 1990 semasa Sarawak pertama kali menjadi tuan rumah temasya SUKMA yang diadakan di Kuching.

Mengulas lanjut, dari segi persiapan pasukan bolasepak SUKMA di bawah pihak SSC dan MSNS, katanya semua persediaan dari segi peruntukan, alatan untuk latihan, peruntukan untuk perlawanan, pendedahan dalam dan luar negeri diurus dengan baik tanpa sebarang masalah.

Hadir sama Pegawai Pembangunan Sukan Bolas Sepak Sarawak Abdul Ajis Kon Mohamad Ghazali serta pengurusan pasukan bolasepak SUKMA Ke-21 Sarawak 2024.-EDISI UKAS