LIMBANG: Hari Apresiasi Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) dan Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS)
memainkan peranan penting dalam memperkasakan pendidikan awal kanak-kanak.
Timbalan Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah berkata, program Hari Apresiasi ini diadakan dengan tujuan untuk mempereratkan hubungan antara pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat setempat.
Beliau juga menyatakan rasa kagum dan bangga dengan komitmen KEMAS yang terus melaksanakan program pendidikan yang inklusif, memberi manfaat kepada kanak-kanak dari pelbagai latar belakang di seluruh negeri.
"Program ini bukan sahaja memberi ilmu tetapi juga membantu membentuk sikap toleransi dan perpaduan dalam kalangan generasi muda,” ujar beliau.
Datuk Hasbi menambah, dengan aktiviti-aktiviti yang melibatkan kerjasama komuniti, ia memberi peluang kepada semua pihak untuk bersama-sama meraikan pencapaian kanak-kanak yang telah menerima sijil apresiasi.
“Nilai perpaduan mesti diterapkan sejak usia muda. Melalui interaksi antara kanak-kanak dari pelbagai kaum dan budaya di Taska dan Tabika, mereka belajar untuk menghargai perbezaan dan hidup harmoni,” tambah beliau.-EDISI UKAS