Senator Datuk Mutang Tagal Ketuai Rombongan Lakukan Kunjungan Hormat Terhadap Presiden Republik Azerbaijan

Disiarkan pada 30 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


AZERBAIJAN: Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Datuk Mutang Tagal melakukan kunjungan hormat terhadap Presiden Republik Azerbaijan, Ilham Aliyev di Baku, Azerbaijan, pada Isnin.

Kunjungan hormat ini turut disertai oleh Duta Malaysia ke Azerbaijan, Ahmad Kamrizamil Mohd Riza, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Datuk Nur Jazlan Tan Sri Mohamed dan Senator Tan Sri Datuk Seri Panglima Anifah Aman.

Dalam pertemuan tersebut, Presiden Ilham Aliyev mengucapkan terima kasih kepada Senator Datuk Mutang Tagal yang telah mengetuai delegasi Malaysia di dalam “6th World Forum on Intercultural Dialogue” sekaligus menandakan komitmen berterusan Malaysia dalam pengukuhan hubungan dua hala dengan Republik Azerbaijan. 

Semasa perbincangan, kedua-dua pihak telah menyatakan minat untuk memperluas dan memperdalam kerjasama dalam pelbagai bidang penting termasuk tenaga, ekonomi dan hal ehwal luar negeri.

Republik Azerbaijan yang juga tuan rumah bagi penganjuran “UN Climate Change Conference (UNFCCC COP 29)” telah menjemput Malaysia untuk menghadiri persidangan tersebut. 

Sementara itu, Presiden Ilham Aliyev dan delegasi Malaysia telah bersetuju agar negara-negara yang sehaluan (like minded countries) seperti Azerbaijan dan Malaysia membincangkan agenda bersama yang bersesuaian sebelum persidangan COP29 itu bermula bagi memastikan suara dan kepentingan negara-negara ini didengari dalam perbincangan global tersebut.

Selain itu, Presiden Ilham Aliyev telah menyuarakan tentang kepentingan soladariti negara Islam dan beliau turut berharap agar aktiviti ekonomi antara Malaysia dan Republik Azerbaijan ditingkatkan bagi memperkukuhkan hubungan kedua-dua negara. 

Menurut beliau, ini akan membuka lebih banyak peluang bagi syarikat-syarikat dari kedua-dua negara untuk berkolaborasi dan memanfaatkan potensi ekonomi.

Untuk rekod, kunjungan hormat berkenaan merupakan sebahagian dari usaha berterusan Malaysia untuk memperkuatkan hubungan dua hala dengan Azerbaijan, terutama dalam mempromosikan dialog antara pelbagai budaya dan meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang kepentingan bersama. -EDISI UKAS