SKAS Guna Kaedah Digital, Elak Bantuan Disalahguna

Posted on 05 Jan 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Pemilihan kaedah digital sebagai medium pelaksanaan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) adalah bagi memastikan bantuan digunakan sepenuhnya untuk keperluan asas.

Demikian jelas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Openg bagi menjelaskan kaedah tunai atau baucar fizikal sering berisiko disalahgunakan, seperti pengalaman program Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) sebelum ini.

Menurut beliau, melalui pendekatan digital, ia dianggap lebih telus dan berkesan.

"Kita hendak tolong orang supaya setidak-tidaknya di rumah ada beras untuk keluarga sebab itu kita menggunakan digital sebab baucer digital ini tidak dapat ditukar dengan wang kerana hasrat kita membantu rakyat bukan sedikit tetapi sebanyak RM464.5 juta.

"Kita dapat laksanakan bantuan sebab rezeki Sarawak bertambah disebabkan kita di Kerajaan Sarawak kerja kuat.

"Jadi kita laksanakan apa yang sepatutnya untuk rakyat di mana kalau perbelanjaan dapur mereka adalah sebanyak RM300 sekurang-kurangnya kerajaan teleh bereskan perbelanjaan tersebut.

"Untuk wang yang tidak dibelanjakan, mereka boleh gunakan untuk perbelanjaan lain. Ini kerana kerajaan telah menyediakan makanan untuk anak-anak mereka bagi yang berkeluarga," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan Service Sarawak Centre di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sarawak di sini pada Ahad.

Premier Sarawak menambah, ia bukan sahaja memastikan ketelusan bantuan, tetapi juga menggalakkan rakyat Sarawak membiasakan diri dengan penggunaan e-dompet.

Beliau turut menjelaskan, kaedah ini membolehkan penerima mendaftar melalui SarawakID, yang membantu merekod data dan memantau paras pendapatan rakyat untuk perancangan masa depan lebih terarah.

"Jadi dengan data ini, kita dapat menggubalkan dasar untuk kita menambah pendapatan masyarakat kita untuk mengetahui keadaan sebenar di mana kita buat dasar yang membantu rakyat," jelasnya.

Turut mengiringi Premier Sarawak ke Service Sarawak Centre ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sarawak Datu Lester Matthew, Pengarah Unit Digitalisasi Perkhidmatan Awam Sarawak Grace Huong Siew Hung, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak Semawi Mohamad, Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Awang Putrayusrie Awang Redzuan, Pengurus Besar Sarawak Multimedia Authority (SMA) Dato Dr Anderson Tiong Ing Heng dan Ketua Pegawai Eksekutif Sistem Informasi Sarawak (SAINS) Sdn Bhd Busiai Seman. -EDISI UKAS