KUCHING: Seramai 886,288 rakyat Sarawak layak memohon Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) berdasarkan data terkini daripada kelayakan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 4.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata daripada jumlah tersebut, seramai 410,529 penerima adalah dalam kategori bantuan isi rumah, sementara kategori bujang dan warga emas tanpa pasangan atau anak masing-masing mencatat seramai 361,295 dan 114,464 penerima.
Menurutnya, inisiatif ini dijangka meringankan beban rakyat Sarawak selaras dengan usaha kerajaan negeri memperkasakan kebajikan masyarakat.
“Kategori isi rumah layak menerima RM800 dengan implikasi kewangan sebanyak RM328.4 juta, bujang (RM250) dengan implikasi kewangan sebanyak RM90.3 juta dan warga emas tiada pasangan dan tiada anak akan mendapat RM400 dengan implikasi kewangan RM45.8 juta.
“Ini menjadikan nilai keseluruhan bantuan SKAS berjumlah RM464.5 juta, tidak termasuk mereka yang akan mengemukan permohonan nanti bagi yang tidak tersenarai,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke Service Sarawak Centre di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini pada Ahad.
Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, mereka yang belum tersenarai tetapi memenuhi kriteria kelayakan boleh membuat permohonan semula bermula dari 1 Februari hingga 31 Mac tahun ini.
Difahamkan setakat ini, hanya 27 peratus iaitu 244,000 daripada 886,288 rakyat Sarawak sudah berjaya mendaftar bagi bantuan SKAS ini menerusi aplikasi SarawakPay (SPay) Global.
Turut mengiringi Premier Sarawak ke Service Sarawak Centre ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sarawak Datu Lester Matthew, Pengarah Unit Digitalisasi Perkhidmatan Awam Sarawak Grace Huong Siew Hung, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak Semawi Mohamad, Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Awang Putrayusrie Awang Redzuan, Pengurus Besar Sarawak Multimedia Authority (SMA) Dato Dr Anderson Tiong Ing Heng dan Ketua Pegawai Eksekutif Sistem Informasi Sarawak (SAINS) Sdn Bhd Busiai Seman. -EDISI UKAS