Program Sejahtera Komuniti Madani Usaha Tingkat Taraf Sosioekonomi Penduduk Di Pedalaman

Disiarkan pada 30 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


BELAGA: Pelaksanaan Program Sejahtera Komuniti Madani bertujuan meningkatkan lagi taraf sosioekonomi ataupun pendapatan kepada semua komuniti khususnya penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman atau rumah panjang.
 
Menurut Penolong Pengarah Kanan, Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak Ashari Johari, program ini telah diperkenalkan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2024 yang lepas iaitu pada 13 Oktober 2023.
 
Katanya, program ini hanya menyasarkan kepada Pembangunan sosioekonomi dan bukan untuk tujuan pembangunan infrastruktur.
 
Beliau berkata demikian pada Taklimat Program Sejahtera Komuniti Madani (Sejati Madani) di Dewan Masyarakat Daerah Belaga pada Isnin.
 
Di bawah program berkenaan, sebanyak RM1 billion peruntukan telah disediakan dan turut dihadkan hanya RM100,000 sahaja peruntukan untuk satu permohonan sesebuah komuniti atau Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
 
Terdapat lima sektor projek tumpuan iaitu Pertanian dan Makanan; Jahitan dan Kraf Tangan; Herba dan Kesihatan; Pelancongan dan Hospitaliti dan Aktiviti Hijau dan Kitar Semula.
 
Setiap komuniti adalah bebas untuk memilih jumlah projek yang hendak dilaksanakan di antara 5 sektor tersebut dan keseluruhannya hendaklah berjumlah maksimum RM100,000 serta tempoh maksimum pelaksanaan program adalah selama satu tahun.
 
Setiap permohonan hendaklah dibuat secara dalam talian, justeru Ketua JKKK dan Setiausaha JKKK mestilah fasih dengan penggunaan komputer serta akan diberi tunjuk ajar semasa pendaftaran permohonan.
 
JKKK yang memohon perlu mempunyai sijil dan berdaftar dengan Pejabat Daerah Di kawasan masing-masing.
 
Terdahulu, Pemangku Pegawai Daerah Belaga Bidah Lujah dalam ucapan pembukaannnya berkata program tersebut merupakan siri kedua bagi Daerah Belaga di mana Siri Taklimat Sejati pertama telah diadakan di kawasan Long Urun pada 26 April yang lepas manakala Siri Ketiga dan yang terakhir akan diadakan di Dewan Adet Bangen Kimet, Uma Bakah bagi kawasan Sungai Asap.
 
Katanya, Pejabat Daerah hanya sebagai pemudah cara sahaja bagi program ini.
 
Seramai 90 JKKK meliputi Ketua Kaum, Setiausaha atau Bendahari dari kawasan Belaga, Linau dan Murum hari pada taklimat tersebut.
 
Turut diadakan sesi soal jawab yang mendapat maklumbalas sangat positif dari dari peserta yang mengajukan pelbagai pertanyaan dan soalan. - EDISI UKAS