SKAS: Pejabat SPAY Global Jadi Tumpuan

Posted on 04 Jan 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Biarpun pada hujung minggu, orang ramai masih berpusu-pusu mengunjungi Pejabat Spay Global bagi menguruskan akaun Sarawak Pay untuk membolehkan menerima bantuan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS).

Tinjauan wartawan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) mendapati kira-kira 200 orang kelihatan membanjiri Cityone Megamall pada Sabtu bagi menyelesaikan permohonan bantuan tersebut yang akan disalurkan menggunakan Sarawak Pay.

Pelbagai lapisan masyarakat juga telah hadir dengan kaunter dibuka sejak 8 pagi sehingga 5 petang.

Tinjauan juga mendapati orang ramai sanggup berbaris panjang menunggu angka giliran, manakala setelah mendapat nombor giliran mereka akan menunggu untuk dipanggil ke kaunter.

Difahamkan, kaunter Service Sarawak di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sarawak turut dibanjiri orang ramai untuk mendapatkan bantuan bagi permohonan SKAS.

Untuk rekod, SKAS menyediakan bantuan kewangan tahunan daripada RM250 hingga RM800 untuk membantu golongan keperluan untuk membeli keperluan asas.

Penerima yang layak adalah warga Sarawak yang menetap di negeri ini dengan pendapatan isi rumah RM5,000 ke bawah dengan nilai bantuan sebanyak RM800, warga emas tanpa pasangan dan anak berpendapatan RM5,000 ke bawah akan menerima bantuan bernilai RM400 dan orang bujang berpendapatan RM2,500 ke bawah akan menerima bantuan bernilai RM250. -EDISI UKAS