Pasar Tamu Michinoeki Sabal Dibuka Secara Rasmi, Tarikan Menarik Di Serian

Disiarkan pada 30 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS



SERIAN: Pasar Tamu Michinoeki Sabal yang dibuka oleh Persatuan Jepun-Malaysia (JMA) di Kampung Sabal bakal menjadi tarikan menarik penduduk dan pelancong tempatan.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan berkata, konsep 'Michinoeki' yang merujuk kepada tempat persinggahan dengan menawarkan produk tempatan Jepun seperti makanan, cenderahati serta kemudahan lain akan memberikan pengalaman unik dan menarik kepada pengunjung.

Menurutnya, dengan sokongan penuh daripada kerajaan Jepun, pasar tamu ini juga memberi peluang kepada penduduk tempatan untuk menjual hasil pertanian dan kraftangan mereka sekali gus membantu meningkatkan pendapatan harian.
"Ini merupakan langkah positif dalam membangunkan ekonomi tempatan dan menggalakkan pertumbuhan masyarakat setempat.

"Pasar Tamu ini diharap akan menjadi destinasi popular dan memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat,"katanya semasa berucap menyempurnakan perasmian Pasar Tamu Michinoeki Sabal, di sini baru-baru ini.
Dalam perkembangan lain, Datuk Snowdan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada JMA atas aktiviti cemerlang mereka di Sarawak, terutama komitmen yang diberikan kepada penanaman lebih 850,000 pokok di taman negara dan hutan simpan di sini, melalui Program Pemulihan Landskap Hutan (FLR).

Ujar beliau, kerjasama antara JMA, kerajaan Sarawak, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan masyarakat setempat ini merupakan langkah positif dalam usaha memulihkan dan memelihara kawasan hutan tropika di Sarawak, yang secara tidak langsung memberi manfaat kepada masyarakat setempat serta generasi akan datang.

Terdahulu semasa berucap, Presiden JMA, Takakazu Ogawa memberitahu, pihaknya juga telah melaksanakan Projek Penambahbaikan Kehidupan dan Persekitaran Air di Kawasan Kampung (fasa pertama), iaitu di daerah Balai Ringin dengan sokongan kerajaan Jepun menerusi Bantuan Geran Projek Badan Bukan Kerajaan (NGO) Jepun untuk tiga tahun fiskal sejak 2021.

"Kami telah menambah baik sistem air graviti di kawasan tadahan air empat kampung dan memasang paip polietilena berketumpatan tinggi (HDPE) dengan kerjasama agensi kerajaan tempatan, pakar, pembina dan penduduk kampung.

"Projek ini telah meningkatkan penggunaan air dengan ketara di kampung, menghapuskan keperluan untuk membeli air walaupun pada musim kemarau, serta meningkatkan tahap kebersihan, kerana orang ramai boleh mandi, mencuci tandas, pakaian dan peralatan makan pada bila-bila masa mereka mahu,"jelas beliau.

Hadir sama di majlis itu ialah Ahli Parlimen Sri Aman Dato’ Sri Doris Sophia Brodi, Kedutaan Jepun Kota Kinabalu Yoshito Yamashita, Timbalan Pengerusi Persatuan Jepun Malaysia Moribayashi, Timbalan Pengarah Hutan Konservasi Hutan dan Pembangunan Happysupina Sait serta Kedutaan Jepun Kota Kinabalu Sabah Eguchi.

Turut hadir ialah Pegawai Pentadbir, Menguasa Pejabat Daerah Kecil Balai Ringin Mohammad Adam Muslim Abdullah, Pegawai Tadbir di Daerah Serian Gerald George Entigar, Penasihat Japan Malaysia Assiosation Profesor Hamsadi, wakil Perbadanan Perhutanan Sarawak, Ahli RESTOR dan UNIMAS, wakil Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Sarawak serta Jurutera Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Bahagian Serian Qaitunoiza Rosian.-Edisi UKAS