KMKK Perlu Proaktif, Efektif Urus Kawasan Pentadiran Masing-Masing

Disiarkan pada 30 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


BINTANGOR: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK)  perlu sentiasa proaktif dan lebih efektif dalam menguruskan kawasan pentadiran masing-masing.
 
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata sikap positif membantu melicinkan usaha pembangunan kerajaan di samping memastikan peruntukan dapat disalurkan dengan cepat untuk manfaat rakyat.
 
Pada masa sama ujarnya, pemimpin masyarakat mesti mempunyai maklumat lengkap tentang perancangan dan dasar kerajaan supaya dapat memberi penjelasan tepat kepada penduduk di bawah pentadbiran masing-masing.
 
“Sebagai individu penting di peringkat akar umbi, saya berharap mereka menunaikan tanggungjawab dengan ikhlas dan penuh dedikasi.
 
“Paling penting harus mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang telah ditetapkan oleh Pejabat Daerah Meradong.
 
“Ini amat penting bagi membolehkan perancangan pembangunan kerajaan dapat dilaksanakan lebih lancar dan seterusnya memberi manfaat kepada komuniti setempat.”
 
Beliau berkata demikian semasa upacara ringkas Penyerahan Surat Pelanjutan Dan Pelantikan Baharu perkhidmatan Ketua Masyarakat Dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Meradong di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Meradong pada Isnin.
 
Seramai 51 KMKK DUN Meradong menerima surat lanjutan manakala lapan lagi lantikan baru.
 
Majlis penyerahan sijil lantikan disempurnakan oleh Residen Bahagian Sarikei Michael Ronnie Langgong sambil disaksikan Datuk Ding dan Pemangku Pegawai Daerah Meradong Thomas Geoffrry Kendawang.

Pada masa yang sama, Datuk Ding menzahirkan ucapan tahniah serta syabas kepada semua KMKK yang dilanjutkan perkhidmatan dan lantikan baharu. - EDISI UKAS