Kejayaan Anak Dalam Pendidikan Tuntut Peranan Semua Pihak

Disiarkan pada 29 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


NGEMAH: Kejayaan anak-anak dalam pendidikan menuntut peranan semua pihak khasnya ibu bapa, guru-guru, agensi kerajaan yang terlibat serta murid itu sendiri.
 
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Anyi Jana, untuk mendapatkan 'return on investment' yang positif dalam bidang pendidikan memerlukan perancangan yang rapi.
 
Dalam hal ini katanya, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu menjalinkan kerjasama yang baik dengan pihak pentadbiran sekolah dan dalam masa yang sama berusaha bagi mencari dana untuk kegunaan PIBG dalam membantu membangunkan sekolah.
 
“PIBG juga perlu mengukuhkan hubungan yang baik dengan komuniti setempat agar segala perancangan mendapat hasil yang sewajarnya. Sokongan terhadap PIBG oleh komuniti setempat adalah perlu bagi kejayaan yang cemerlang bagi sesebuah sekolah.
 
"Ibu bapa juga perlu memainkan peranan bagi kejayaan anak-anak mereka. Ibu bapa yang prihatin akan sentiasa menyokong dan memberi peransang kepada anak-anak mereka untuk mencapai kejayaan dalam pelajarannya mereka.”
 
Beliau berucap demikian semasa merasmikan Majlis Makan Malam PIBG SK Nanga Tada 2024 di Dewan Serbaguna Nanga Tada, Kanowit pada Sabtu.
 
Majlis tersebut dianjurkan oleh PIBG SK Nanga Tada dan turut dihadiri kira-kira 300 orang tetamu.
 
Anyi turut menyeru ibu bapa yang hadir agar menyahut cabaran bagi melahirkan sekurang-kurangnya seorang anak yang berjaya melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat ijazah sarjana muda agar dapat meningkatkan sosio-ekonomi keluarga.
 
Pada majlis tersebut, Anyi telah meluluskan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) DUN Ngemah berjumlah RM5,000 kepada PIBG SK Nanga Tada bagi pelaksanaan aktiviti tahunan mereka.
 
Hadir bersama ialah PPD Kanowit Yakup Jai, YDP PIBG SK Nanga Tada Terrence Lin, Guru Besar SK Nanga Tada Mikem Longiok, Penghulu Ugap Seribu dan tetamu yang lain. - EDISI UKAS