Sekolah Di Sarawak Sedia Hadapi Banjir Semasa SPM

Disiarkan pada 01 Jan 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Sekolah di Sarawak bersedia menghadapi banjir semasa peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berlangsung pada 2 Januari hingga 6 Februari ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), Omar Mahli berkata, lembaga peperiksaan di seluruh negara telah menyediakan langkah-langkah untuk menghadapi bencana bagi sekolah yang terjejas.

“Jika mana-mana sekolah yang terjejas, kita ada pusat-pusat lain yang boleh kita pindahkan calon untuk menduduki peperiksaan dan kita memastikan semua calon akan menduduki peperiksaan SPM,” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui media pada lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Patinggi Haji Abdul Gapor di sini pada Khamis.

Menurutnya, pada masa ini sekolah di Sarawak hanya di tahap berisiko banjir.

“Kebanyakan sekolah menengah di Sarawak tidak begitu terjejas dengan banjir, cuma jalan terputus akibat hujan lebat.

“Setakat ini, hanya enam sekolah menengah yang berisiko banjir di seluruh negeri,” ujarnya.

Difahamkan, seramai 35,424 orang calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2024 di 255 buah pusat peperiksaan di seluruh Sarawak.

Turut hadir ialah Pegawai Pendidikan Daerah Kuching, Dr Majelani Sulong dan Pengetua SMK Datuk Patinggi Haji Abdul Gapor, William Tedong. -EDISI UKAS