KUCHING: Sarawak kini mempunyai seramai 4,600 doktor yang berkhidmat di seluruh negeri, namun kebanyakan daripada mereka bukan anak jati Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Professor Dr Sim Kui Hian, menyatakan bahawa daripada jumlah tersebut, 4,000 doktor bertugas di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) manakala 600 lagi berkhidmat di sektor swasta.
“Kita hanya mempunyai 4,600 doktor di Sarawak. Seramai 4,000 orang doktor berada di bawah KKM, manakala 659 di sektor swasta berdasarkan statistik terkini.
"Doktor swasta ini bukan hanya di klinik tetapi juga di hospital swasta,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perasmian MMA Sarawak dan Pejabat SPMPS di sini pada Rabu.
Datuk Amar Professor Dr Sim menegaskan bahawa isu kekurangan doktor tempatan perlu diberi perhatian serius, terutama apabila majoriti doktor yang berkhidmat di negeri ini bukan berasal dari Sarawak.
“Walaupun jumlah doktor kecil, iaitu hanya 4,000 orang, majoritinya bukan anak Sarawak. Sebab itu kita mahu menangani isu ini,” ujarnya.
Justeru, beliau menyeru agar usaha dipertingkatkan untuk melahirkan lebih ramai doktor tempatan bagi memastikan keperluan kesihatan rakyat Sarawak dapat dipenuhi dengan lebih baik pada masa hadapan.-EDISI UKAS