30 Keluarga Di Padawan Nikmati Bekalan Elektrik & Air Bersih

Disiarkan pada 29 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


PADAWAN: Sebanyak 30 keluarga di Kampung Sungai Burung di sini mengukir senyuman gembira apabila impian mereka untuk menikmati bekalan elektrik dan bekalan air bersih kini direalisasikan.

Timbalan Menteri Pengangkutan (Udara dan Jalan) Datuk Dr Jerip Susil berkata, kejayaan ini menunjukkan komitmen kerajaan Sarawak dalam menyediakan infrastruktur yang lengkap kepada penduduk di negeri ini.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian Bekalan Eletrik dan Bekalan Air Bersih di Padawan pada Ahad.

Dalam pada itu, Datuk Dr Jerip yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong memberitahu, rancangan bagi melebarkan jalan utama Kampung Sungai Burung akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Di kesempatan itu juga, beliau telah meluluskan dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM20,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sungai Burung.

Sementara itu, Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin yang turut hadir dalam majlis tersebut memberitahu perbincangan bersama wakil rakyat bagi kawasan di bawah Parlimen Puncak Borneo akan diadakan bagi mengelakkan berlakunya pertindahan pelaksanaan projek di peringkat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan peringkat Parlimen. 

Hadir sama pemangku Pegawai Daerah Siburan Ranum Bari dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di kawasan Siburan. -EDISI UKAS