ABAS Raikan Pencapaian Gemilang 2024

Disiarkan pada 31 Dec 2024
Sumber Berita: Ukas


KUCHING: Persatuan Tenpin Boling Amatur Sarawak (ABAS) mempunyai sebab kukuh untuk meraikan penutupan 2024 dengan penuh kepuasan selepas pelbagai kejayaan dipahat sepanjang tahun tersebut.

Dari kejayaan penganjuran pelbagai kejohanan besar, pencapaian cemerlang atlet Sarawak semasa Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 hingga pengiktirafan kepada pucuk pimpinan persatuan, mewarnai kisah kejayaan ABAS tahun ini.

Fokus tentunya terarah kepada kejayaan atlet Sarawak sepanjang tahun hingga mengangkat status wilayah ini sebagai kuasa besar dalam sukan tenpin boling.

Prestasi dan pencapaian mereka di arena kebangsaan hingga antarabangsa bukti betapa dedikasi dan penuh semangat para atlet, jurulatih malah hingga ke pengurusan pasukan.

“Tahun ini, atlet kita melakar kejayaan ‘back-to-back’ semasa Kejuaraan Boling Terbuka Antarabangsa Malaysia Ke-42 dan Kejuaraan Boling Antarabangsa Kuala Lumpur.

“Pencapaian utama kita ialah merangkul kejuaraan keseluruhan di Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak buat kali kelima berturut-turut dengan kutipan memberangsangkan lima emas, satu perak dan dua gangsa," kata Naib Presiden ABAS, Robert Lu Nam Min kepada pemberita ketika ditemui di Megalanes Sarawak, Emart Batu Kawa pada Isnin.

Beliau yang juga Naib Presiden Kanan Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) dan pengerusi jawatankuasa pemilihan berkata pemain boling negara, Gillian Lim Siew Geok cukup cemerlang dan menjadi kebanggaan Sarawak apabila memenangi gelaran Terbuka Wanita berturut-turut pada Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Malaysia ke-42 pada Mei dan Kejohanan Kebangsaan Malaysia ke-46 pada Oktober.

Kejayaan membanggakan itu membolehkan Gillian Lim ‘naik pangkat’, diserap dalam skuad Podium negara.

Selain Gillian Lim, seorang lagi permata baru Sarawak, Lavinia Kho Jia Jie juga menyinar dalam Kejohanan Antarabangsa Kuala Lumpur (Terbuka Perempuan) selain menduduki tempat kedua dalam kategori Terbuka Wanita, Terbuka Antarabangsa Malaysia.

Lebih membanggakan apabila bintang SUKMA Sarawak yang juga atlet kebangsaan, Nur Hazirah Ramli dipilih mewakili Malaysia ke Piala Dunia Remaja di Lima, Peru pada Januari lepas.

Tahun cemerlang ABAS dipamerkan dengan kejayaannya menganjurkan pelbagai kejohanan sepanjang tahun.

“Kita meneruskan Program Boling Sekolah Senator untuk mencari dan mengembangkan bakat di mana pada 2023 dan 2024 lebih 50 sekolah telah mengambil bahagian.

“Kita menganjurkan Sarawak Hornbill Team Cup dan Kejohanan Boling Tenpin Terbuka Antarabangsa Sarawak, menarik pesaing dari seluruh Malaysia dan antarabangsa serta mempamerkan kemahiran dan daya saing pemain boling Sarawak,” tambah beliau.

Selain itu, ABAS turut menganjurkan Terbuka Antarabangsa Sarawak & Piala Sabati pada Jun, Program Pembangunan Boling Tenpin Antara Sekolah Senator SSC-ABAS pada awal Januari dan SUKMA XXI Sarawak pada Ogos.

Malah, Sarawak katanya turut menyertai MSSM XXII di Sunway Megalanes pada September dan Kejohanan Boling Antara Negeri Ke-35 pada September dan Oktober yang menjadi platform pendedahan atlet.

Di peringkat pengurusan ujar Robert Lu, ABAS melakar satu lagi sejarah baharu apabila Presidennya, Sunny Si Poh Heng menjadi rakyat Sarawak pertama yang dipilih sebagai Timbalan Presiden MTBC.

Manakala beliau sendiri dipilih semula sebagai Naib Presiden Kanan MTBC, jawatan yang disandangnya sejak 2020 dan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Kebangsaan.

“Dengan kerja berpasukan hebat jawatankuasa ABAS, pemain, jurulatih dan ibu bapa, kita berjaya meneruskan kecemerlangan dalam sukan ini,” ujarnya penuh semangat.

Namun kejayaan itu ujarnya tidak akan datang tanpa sokongan dan dokongan daripada Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED), Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) dan penaja, membolehkan ABAS meneruskan usaha untuk mengangkat mutu sukan itu hingga ke hari ini.

Selain itu, sokongan berterusan pihak MTBC juga memastikan Sarawak terus diberi penghormatan sebagai tuan rumah pelbagai kejohanan bertaraf dunia.

“Sokongan kuat daripada kedua-dua pihak berkuasa tempatan dan negara ini memberi kuasa kepada ABAS untuk menetapkan standard yang lebih tinggi dan memacu inovasi dalam tenpin boling.

“Sumbangan mereka membolehkan kita membawa kemajuan terkini kepada permainan dan meletakkan Sarawak sebagai model untuk memodenkan dan mengembangkan sukan ini di seluruh negara,” tambah Robert Lu.

Melangkah ke gerbang 2025, ABAS beriltizam akan terus menganjurkan pelbagai kejohanan kebangsaan dan antarabangsa selain meneruskan program pembangunan dan menghantar pemain untuk menyertai pertandingan kebangsaan dan antarabangsa sebagai pendedahan.

Sebagai perancangan, ABAS katanya merancang untuk menghantar pemain boling ke Terbuka Antarabangsa Korea buat pertama kalinya.

Selain itu, ABAS juga akan mencadangkan kepada Kerajaan Sarawak untuk menyertakan tenpin boling sebagai salah satu acara dipertandingkan dalam Sukan Borneo akan datang. - EDISI UKAS