Segera Hantar Anjing Divaksin & Daftar Dengan Majlis Daerah Jika Belum

Disiarkan pada 29 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Pemilik anjing disarankan agar sentiasa mematuhi undang-undang dengan memvaksin dan mendaftarkan haiwan peliharaan mereka melalui Majlis Daerah kawasan masing-masing jika belum berbuat demikian.

Perkara itu ditekankan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak kepada pemilik anjing semasa Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Rabies Sarawak di Kuching pada Isnin.

Dalam pada itu, wartawan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) yang turut meninjau operasi tersebut mendapati rata-rata pemilik anjing memberikan kerjasama yang baik kepada pihak penguatkuasa yang bertugas. 

Temubual bersama pemilik anjing untuk mendapatkan maklum balas mereka secara keseluruhannya mendapati mereka sentiasa bertanggungjawab ke atas anjing peliharaan agar tidak memudaratkan orang awam lain. 

Salah seorang pemilik anjing, Ong Su Bing menyeru agar pemilik anjing yang belum memvaksinkan anjing mereka untuk segera menghantar ke pihak yang bertanggungjawab. 

“Saya menasihati semua pemilik anjing untuk memvaksinkan segera anjing-anjing mereka. 

“Operasi seperti ini amat positif kerana ianya memberi kesedaran kepada komuniti,” jelasnya. 

Manakala itu, Dina Chong menasihati pemilik anjing supaya sentiasa memastikan anjing peliharaan mereka diikat atau diletakkan dalam kawasan rumah agar tidak mendatangkan masalah kepada orang awam yang lain. 

“Pemilik anjing sepatutnya mengurung anjing mereka dalam kawasan rumah sekiranya tidak diikat supaya anjing tidak berkeliaran di jalan dan mengigit orang awam sehingga menyebabkan penyakit Rabies. 

“Harap semua orang dapat bekerjasama dalam hal ini,” jelas Dina. 

 Semasa operasi, pihak penguatkuasa yang bertugas turut memberi khidmat vaksin kepada anjing yang belum divaksin.

Dalam pada itu, pihak penguatkuasa turut mengeluarkan kompaun kepada pemilik yang ingkar arahan seperti tidak memvaksin dan gagal menunjukkan lesen anjing mereka. 

Operasi ini akan diteruskan ke kawasan Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) pada 30 April hingga 3 Mei depan. 

Untuk makluman, orang awam yang berhasrat untuk memelihara anjing ditegaskan untuk memiliki tidak melebihi tiga ekor anjing di setiap rumah memandangkan perkara ini masih kurang didedahkan kepada umum. -EDISI UKAS