Kerjasama Pemimpin Akar Umbi Dan Penduduk Permudah Pelaksanaan Pembangunan

Disiarkan pada 29 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


MUKAH: Kerjasama pemimpin akar umbi dan penduduk untuk memudahkan pelaksanaan pembangunan di sesebuah kawasan.
 
Dalam hal ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine mengingatkan pemimpin akar umbi dan penduduk untuk membuang perasaan ego kerana ia merencatkan perancangan agenda pembangunan kerajaan untuk keperluan masyarakat.
 
Beliau turut menekankan isu pembangunan yang dihalang oleh sesetengah pihak.
 
Menurutnya, isu tersebut akan membantutkan usaha kerajaan mewujudkan jaringan antara sesebuah kawasan terpencil dan membantutkan usaha untuk memperluaskan liputan internet dalam usaha mempergiatkan lagi e-ekonomi selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS 2030).
 
Beliau berucap demikian dalam Majlis Penutupan Taklimat dan Penerangan Inisiatif dan PCDS2030 Kerajaan Sarawak di Mukah pada Sabtu.
 
Berkongsi perjalanan politik, beliau berkata DUN Tellian ini adalah pecahan daripada DUN Balingian.
 
“Kita adalah DUN baru bermula daripada  tahun 2016 dan sebelum ini, pemimpin-pemimpin lama yang telah berkhidmat dan menyumbang bakti kepada kawasan kita ini kita patut hargai sumbangan mereka. Kita adakan program yang sangat baik ini untuk kita berkongsi kepada rakyat dan akar umbi.”
 
“Ketika ditanya untuk menjadi ADUN N.57 Tellian, saya memberikan jawapan saya bersetuju, maka kalau saya sudah bersetuju untuk berkongsi kehidupan saya, saya sudah bersetuju untuk berkongsi umur saya ini, bersama dengan masyarakat di kawasan saya, untuk menyumbang apa jua perkara pembangunan yang kita lakukan untuk kawasan,” katanya.
 
Untuk rekod, Royston merupakan calon terakhir daripada 82 DUN Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 yang lepas.
 
Program tersebut berjalan dengan lancar dan pelbagai aktiviti dilaksanakan seperti taklimat dan soal jawab mengenai PCDS2030, bersama Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), MCMC, Mutiara Mortgage, Ekonomi Hijau dan Perbadanan Pembanggunan Perumahan (HDC).
 
Menurut Royston, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), serta tuai-tuai rumah boleh berkongsi maklumat yang diperolehi hari ini kepada penduduk kampung masing-masing.
 
“Itulah peranan kita sebagai pemimpin peringkat akar umbi untuk menyebar luaskan dasar-dasar kerajaan, pelaksanaan apa jua agenda kerajaan untuk membangun kawasan kita,” ujarnya.
 
Turut hadir enam Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak iaitu Abdul Samat Gany, John Nyigor, Abg Abd Aziz Abg Draub, Angellie Stephen Raja, Collin Patan dan Watson Awan serta jemputan dari pelbagai agensi kerajaan dan ketua masyarakat setempat. - EDISI UKAS