1,500 Guru Baharu Sarawak Akan Memulakan Tugas Menjelang Januari 2025

Disiarkan pada 30 Dec 2024
Sumber Berita: Ukas


KUCHING: Lebih 1,500 guru baharu di Sarawak yang telah berjaya dalam proses temu duga akan memulakan tugas di seluruh negeri menjelang pertengahan Januari 2025.

Pengarah Jabatan Pendidikan Sarawak (JPNS), Omar Mahli berkata, Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) telah menyelesaikan proses temu duga dan keputusan telah diberikan kepada calon yang berjaya.

“Calon-calon telah menerima keputusan masing-masing, dan kini Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menyelaraskan penempatan melalui sistem e-graduan.

“Saya dimaklumkan bahawa penempatan akan selesai dan mereka dijangka memulakan tugas di seluruh Sarawak pada pertengahan Januari,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, di pejabatnya, Wisma Bapa Malaysia pada Isnin sempena pelantikannya sebagai Pengarah JPNS yang baharu.

Tambah beliau, daripada lebih 12,000 calon yang disaring, 1,500 calon telah berjaya dipilih untuk memenuhi keperluan penempatan di mana seramai 300 guru baharu akan ditempatkan di sekolah menengah, manakala selebihnya akan bertugas di sekolah rendah.

“Langkah ini diharapkan dapat menangani masalah kekurangan guru terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman, sekali gus memperkukuh kualiti pendidikan di Sarawak,” tambah Omar.

Sebagai Pengarah JPNS yang baharu, Omar menegaskan komitmennya untuk memperkukuh hubungan dengan Kerajaan Sarawak, khususnya melalui Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD).

“Kami berhasrat untuk menjalinkan kerjasama erat dengan Kerajaan Sarawak dan agensi berkaitan dengan lebih kerap melalui sesi libat urus.

“Ini penting untuk memastikan dasar pendidikan serta program baharu dapat difahami dan diterima dengan baik oleh masyarakat,” jelasnya.

Omar, yang sebelum ini bertugas sebagai Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) di Kementerian Pendidikan, menggantikan Datu Dr Azhar Ahmad yang bersara pada November lalu.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak dan Kerajaan Negeri atas sokongan mereka terhadap usaha JPNS dalam memajukan sektor pendidikan di negeri ini.-EDISI UKAS