Dato Sri Julaihi Kekal Ketua Cawangan PBB Sebuyau

Disiarkan pada 30 Dec 2024
Sumber Berita: Ukas


SEBUYAU: Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi kekal sebagai Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sebuyau bagi tempoh 2024 hingga 2027.

Pelantikan tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Perwakilan Cawangan PBB Sebuyau yang dipengerusikan Timbalan Premier Sarawak merangkap Timbalan Yang Dipertua PBB, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan di Dewan Pembangunan Sebuyau baru-baru ini.

Mesyuarat yang dihadiri lebih 750 orang itu turut menyaksikan pelantikan Ketua Pemuda, Mohd Nayseruddin Borhan dan Ketua Pergerakan Wanita, Lilawati Berahim termasuk Ahli Jawatankuasa (AJK) baru bagi Sayap Wanita dan Pemuda PBB Cawangan Sebuyau.

Semasa berucap, Datuk Amar Awang Tengah menyeru kepada semua perwakilan agar terus bersemangat untuk membawa perubahan dan memastikan kesinambungan parti, dengan selalu mendalami suara rakyat di akar umbi.

Beliau turut mengingatkan bahawa Konvensyen PBB akan diadakan pada Februari 2025 dan menyatakan harapannya supaya lebih banyak langkah pembangunan dapat dicapai pada tahun hadapan.

Majlis tersebut diakhiri dengan simbolik perasmian Mesyuarat Perwakilan PBB Cawangan Sebuyau sesi 2024-2027 oleh Datuk Amar Awang Tengah.

Turut serta dalam mesyuarat tersebut ialah Dato Sri Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, ADUN Kalaka Mohamad Duri, ADUN Beting Maro Razaili Gapor, Setiausaha Eksekutif PBB Datuk Awang Bujang Awang Antek serta Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Dato Pangeran Jaya.-Edisi UKAS