ADUN Opar Serah Cek UNIFOR Berjumlah RM1.85 Juta Kepada Tiga Gereja

Disiarkan pada 29 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


BAU: Dalam usaha untuk menyediakan kemudahan tempat beribadat yang selesa kepada umat Kristian di kawasan Opar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang telah menyerahkan cek dari pihak Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain Sarawak (UNIFOR) berjumlah RM1.85 juta kepada tiga gereja dalam konstituensi tersebut.

Tiga buah gereja itu adalah Gereja Katolik St Benedict Kampung Tembawang Sauh, Gereja Katolik St Catherine Kampung Raso 2, dan Gereja Katolik St Teresa Avila Kampung Stenggang. 

Gereja Katolik St Benedict Kampung Tembawang Sauh menerima cek peruntukan berjumlah RM 500,000, manakala Gereja Katolik St Catherine Kampung Raso 2 dan Gereja Katolik St Teresa Avila Kampung Stenggang masing-masing menerima cek peruntukan berjumlah RM700,000 dan RM650,000.

Semasa berucap ringkas dalam  majlis itu, Billy berkata, inisiatif ini adalah selaras dengan pertambahan umat Kristian khususnya di dalam DUN Opar.

Jelasnya, usaha ini juga bagi memastikan keselesaan umat Kristian dalam beribadah sejajar kesinambungan kemajuan yang setara bagi setiap kampung.

Katanya lagi, peruntukan yang diserahkan pada hari ini adalah peruntukan fasa 2 iaitu bagi meneruskan lagi kerja-kerja naik taraf dan baik pulih bagi gereja-gereja ini.

Hadir sama, Penghulu Zon Stungkor, Jinep Jiheng,  Ketua Kaum Kampung Tembawang Sauh, Pahen Daek, Ketua Kaum Kampung Raso 2, Jomen Lidip, Ketua Kaum Kampung Stenggang, Gary Nosen,  Ketua Kaum Kampung Sepadah, Anthony Jirang. -EDISI UKAS