Program Gotong-Royong LCDA Baiki Laluan di Kampung Salak

Disiarkan pada 29 Dec 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Sebagai sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) LCDA Prihatin 2024, Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Salak berjaya menganjurkan program gotong-royong yang bertujuan untuk memperbaiki laluan pejalan kaki kayu belian yang rosak di kampung tersebut.

Program yang diadakan pada hari Ahad lalu menyaksikan penyertaan seramai 50 peserta, yang terdiri daripada penduduk kampung dan wakil LCDA.

Aktiviti ini dilaksanakan bagi memastikan keselamatan dan keselesaan penduduk Kampung Salak, terutama setelah laluan pejalan kaki tersebut terjejas akibat cuaca buruk dan penggunaan yang kerap.

Pemangku Pengurus Besar LCDA, Kusyairi Bostani, turut hadir untuk menyerahkan replika cek secara simbolik kepada pihak JKKK Kampung Salak sebagai tanda sumbangan daripada pihak berkuasa kepada program gotong-royong ini.

Program ini adalah salah satu usaha di bawah tema #LCDAprihatin 2024, yang menekankan nilai keprihatinan dalam komuniti setempat dan kawasan projek LCDA serta anak syarikatnya.

Di samping membaiki infrastruktur kampung, program ini juga bertujuan untuk memperkukuh hubungan antara LCDA dan masyarakat setempat.

Turut hadir dalam program tersebut adalah Penghulu Salak, Wahid Mat, Ketua Kampung Salak, Ismail Kahaid, serta pemimpin tempatan yang lain.

Dalam merancang langkah ke hadapan, LCDA turut mengumumkan hasrat untuk terus menyokong Kampung Salak pada tahun 2025 dengan inisiatif yang lebih fokus kepada pemeliharaan keindahan kampung dan program CSR berorientasikan pendidikan.

Program gotong-royong ini jelas membuktikan komitmen LCDA untuk membangunkan komuniti secara berterusan melalui kerjasama erat dengan penduduk setempat. -EDISI UKAS