Tun Dr Wan Junaidi Terima Kunjungan Hormat Daripada DBP

Disiarkan pada 29 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS
ISNIN, 29 APRIL 2024



Tun Dr Wan Junaidi Terima Kunjungan Hormat Daripada DBP

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerima kunjungan hormat daripada rombongan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Bilik Mengadap Utama, Astana Negeri Sarawak pada Isnin.

Kunjungan hormat ini diketuai oleh Ketua Pengarah DBP, Dr Hazami Jahari bertujuan untuk menyatakan beberapa perkara.

Antaranya ialah untuk menjemput Tun Dr Wan Junaidi ke beberapa acara yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

“Kita hendak memaklumkan undangan rasmi DBP untuk Tun Dr Wan Junaidi  hadir ke acara Forum Remaja Piala Tuan Yang Terutama Peringkat Negeri Sarawak yang akan diadakan pada Jun ini.

“Kita juga hendak mengundang beliau dan Toh Puan untuk hadir ke Majlis Anugerah Sastera Negeri Sarawak yang akan kita tetapkan tarikhnya pada penghujung tahun ini.

“Seterusnya, kita menjemput Tun Dr Wan Junaidi untuk terlibat dalam acara Syarahan Negarawan di Kuala Lumpur nanti.

“Tun Dr Wan Junaidi sebagai orang yang pernah berkhidmat lama sebagai ahli politik dan terlibat langsung dalam bidang perundangan serta banyak memberi nasihat dan pandangan tentang hal undang-undang, perlembagaan dan itu akan kami rangkumkan dalam siri Syarahan Negarawan nanti,” tambah Dr Hazami ketika ditemui media selesai melakukan kunjungan hormat tersebut.

Dalam pada itu katanya, Tun Dr Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi telah menyatakan persetujuan rasminya untuk hadir ke semua acara yang telah dinyatakan itu.

Selain itu, Tun Dr Wan Junaidi turut memberikan nasihat dan pandangan dalam soal pelaksanaan dalam menjadikan bahasa sebagai alat perpaduan dan asas pengukuhan jati diri.-EDISI UKAS