Umat Islam Di Limbang Perlu Tingkatkan Kefahaman Tentang Islam

Disiarkan pada 29 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


LIMBANG: Umat Islam di Limbang perlu meningkatkan kefahaman tentang Islam terutamanya ketika berdepan cabaran media sosial.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, cabaran masa kini semakin meningkat dengan adanya media-media sosial. 

“Jadi pandai-pandailah kita mengawal diri masing-masing, jangan sampai terpengaruh dan lalai.

“Gunakanlah sebaik-baiknya media sosial itu dan itulah cabaran kita pada masa ini, cabaran kita untuk mendidik anak-anak. 

“Tekankan kepada bab pendidikan, Insyallah dengan niat yang baik sebagai orang Islam dengan mengekalkan keperibadian kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Tahun 2024M/1445H di Dewan Suarah Limbang pada Sabtu.

Selain itu beliau berharap, Jawatankuasa Tetap Perayaan Islam Daerah Limbang dapat membawa program-program Islamik dalam meningkatkan lagi kefahaman dan pengetahuan terhadap Islam secara menyeluruh.

Tambahnya, antara program besar yang pertama pada bulan Ogos ini iaitu Ceramah Perdana Program Cinta Ilmu, bulan September Tilawah Al-Quran & Sambutan Maulidur Rasul manakala penutup tirai tahun ini adalah Festival Kesenian Islam.

Program-program yang dianjurkan oleh jawatankuasa ini sesuatu yang baik dan yang pertama ia memerlukan perancangan, kedua memerlukan komitmen dan ketiga sememangnya memerlukan kewangan. 

“Alhamdulillah saya komited untuk membantu jawatankuasa ini melalui peruntukan projek kecil luar bandar (MRP) saya setiap tahun,” ujarnya. -EDISI UKAS