Pertimbang Masukkan Sukan Muaythai Dalam Sukan Borneo 2025

Posted on 27 Dec 2024
Source of News: UKAS


KUCHING: Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) berharap Kerajaan Sarawak dapat mempertimbangkan agar sukan muaythai turut dipertandingkan dalam temasya Sukan Borneo pada tahun depan.

Presiden PMNS, Jumaat Ibrahim berkata, sukan tersebut cukup popular di Kepulauan Borneo seperti di Pontianak, Brunei Darussalam, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah di mana mereka sentiasa menyokong aktiviti muaythai anjuran Sarawak.

“Dalam setiap acara muaythai Sarawak, peserta dari Sabah, Labuan, Kalimantan Barat, dan Brunei sentiasa mengambil bahagian dalam acara kami.

“Dengan itu, saya benar-benar berharap agar kerajaan dapat mempertimbangkan dengan serius untuk memasukkan acara muaythai dalam Sukan Borneo kelak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Pertandingan Karaoke Eden Idol 2024 di Eden Garden di sini pada Jumaat.

Untuk rekod, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah mendedahkan bahawa Sukan Borneo bakal dihidupkan semula tahun depan namun tarikh dan lokasi kejohanan belum dimuktamadkan.

Dalam pada itu, Jumaat turut mengharapkan Kerajaan Sarawak terutamanya Kementerian Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Sarawak menyokong pembangunan sukan muaythai di Sarawak.

Ujarnya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti PMNS agak sukar untuk meningkatkan ekonomi sendiri terutamanya dalam keadaan ekonomi terkini.

“Oleh itu, kami benar-benar berharap agar kerajaan dapat membantu dan menyokong program kami.

“Pada masa yang sama, kami juga ingin mempromosikan muaythai dan menghantar peserta untuk menjalani latihan di luar negara. Kami melihat strategi ini berkesan,” jelasnya.

Bercakap mengenai persediaan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, Jumaat memaklumkan bahawa persiapan untuk SUKMA 2026 sudah bermula dengan menghantar atlet ke Thailand untuk latihan intensif.

Menurutnya, bagi memastikan gelaran juara keseluruhan sukan muaythai pada SUKMA 2024 dapat dipertahankan, maka persiapan perlu dimulakan segera dengan sokongan pelbagai pihak terutamanya dari Kerajaan Sarawak.

Turut hadir Pemilik Eden Garden, Habibah Mohodin dan Pengarah SSB Event, Mohamad Shah Riadzi Jamali. -EDISI UKAS