300 Penduduk Kawasan Sungai Plan Meriahkan Majlis Ramah Tamah Ria Aidilfitri 2024

Disiarkan pada 29 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


BINTULU: Lebih 300 penduduk di sekitar kawasan Sungai Plan menghadiri Majlis Ramah Tamah Ria Aidilfitri 2024 dewan serbaguna Kampung Sungai Plan Lot pada Ahad.

Pegawai Khas mewakili Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Steven Kong Kai Seng telah hadir bagi merasmikan majlis tersebut.

Dalam teks ucapan Dato Sri Tiong yang dibaca oleh Steven Kong, beliau berkata penganjuran majlis seperti ini dapat memperkukuhkan lagi keharmonian dan perpaduan masyarakat pelbagai kaum melalui budaya kunjung-mengunjung.

“Saya berharap penganjuran majlis seperti itu akan diteruskan dan dikekalkan agar penyatuan dan ikatan kemasyarakatan dapat dimartabatkan.

“Sudah pastinya majlis ini akan menjadi wadah untuk kita berkumpul dan merapatkan hubungan silatulrahim yang sudah lama terjalin sambil menikmati juadah yang disediakan,” katanya.

Tambahnya, ia juga dapat mengukuhkan semangat kekeluargaan dan perpaduan sesama kita dalam melaksanakan tugas masing- masing.

Pada majlis tersebut, turut diadakan persembahan nyanyian lagu Hari Raya, pertandingan Ratu Cantik Kanak-Kanak, gerai tercantik, cabutan bertuah dan sebagainya. -EDISI UKAS