Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu Terima Sumbangan Dua Mesin Radas Ultra-portable X-ray

Disiarkan pada 29 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


BINTULU: Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu telah menerima sumbangan berupa dua unit mesin Radas Ultra-portable X-ray daripada Press Metal Bintulu Sdn. Bhd.

Simbolik sumbangan telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Eksekutif Kumpulan Press Metal Aluminium Holding Bhd, Choa Wei Keong kepada Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu Dr Melvin Chung Hsien Liang bersempena sambutan Hari Tibi Sedunia Peringkat Bahagian Bintulu di Rumah Lampoh Dana, KM25 Jalan Bintulu-Tatau.

Turut hadir Pegawai Khas merangkap wakil Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Steven Kong Kai Seng.

Dalam ucapan Dr Melvin, beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Press Metal atas sumbangan tersebut yang beliau sifatkan sebagai satu pencapaian penting dalam usaha untuk meningkatkan kemudahan penjagaan kesihatan di bahagian Bintulu amnya.

“Saya yakin dengan adanya mesin Radas Ultra-portable X-ray itu akan dapat menambahbaik pengesanan kes Tibi dalam komuniti sekali gus memberi rawatan dengan segera dan berkesan.

“Dengan adanya mesin ini, penduduk pedalaman terutamanya dapat mengakses perkhidmatan radiogafi dengan mudah tanpa perlu ke klinik kesihatan atau ke hospital,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Hari Tibi Sedunia Peringkat Bahagian Bintulu di Rumah Lampoh pada Sabtu.

Selain itu katanya, beliau menyarankan agar pesakit segera mendapatkan rawatan di klinik kesihatan berhampiran sekiranya mempunyai tanda-tanda penyakit tibi, menjalani saringan di klinik-klinik kesihatan berhampiran jika tergolong sebagai berisiko tinggi.

Tambahnya, pengesanan penyakit tibi bukanlah tanggungjawab pihak Jabatan Kesihatan semata-mata namun setiap individu harus mempunyai kesedaran tentang penyakit tibi supaya pengesanan dapat dilakukan oleh pihak Jabatan Kesihatan. -EDISI UKAS