Program Back To School Manfaat 1,100 Pelajar Di Kuala Rajang

Disiarkan pada 27 Dec 2024
Sumber Berita: UKAS


SARIKEI : Program ‘Back To School’ anjuran Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Kuala Rajang dan Pusat Khidmat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kuala Rajang tahun ini memperuntukkan sebanyak RM125,000 bagi program tersebut yang bakal memanfaatkan seramai 1,100 pelajar.

Program yang berlangsung pada Jumaat ini membolehkan pelajar di kawasan Kuala Rajang yang terdiri daripada anak-anak yang kurang berkemampuan dan anak yatim mendapat bantuan peralatan sekolah sekali gus meringankan beban kewangan ibu bapa.

Program ‘Back To School’ 2024 bagi Zon Tanjung Manis melibatkan tujuh buah sekolah iaitu SMK Belawai; SK Abang Gesa, Belawai; SK Abang Buyuk, Jerijeh; SK Abang Galau, Rajang; SK Stalon, Belawai; SK Bayang, Belawai dan SK Tanjung Manis dengan jumlah keseluruhan pelajar adalah seramai 370 orang bagi zon ini.

Manakala bagi Zon Sarikei melibatkan lima buah sekolah iaitu SMK Sarikei Baru, Sarikei; SK Abang Haji Matahir, Sarikei; SK Agama, Sarikei; SK Sarikei, Sarikei dan SK Sentebu, Sarikei yang mana keseluruhannya seramai 317 pelajar bagi zon ini.

Bagi kawasan lain seperti Selalang, Kerubong Kerapa, Sare, Muara Payang akan dijalankan pada 30 Disember kelak dengan seramai 348 pelajar bakal mendapat manfaat dalam menghadapi persediaan persekolahan yang akan datang. -EDISI UKAS