Keharmonian Masyarakat Pelbagai Kaum Jadikan Sarawak Unik

Posted on 29 Apr 2024
Source of News: UKAS


SARIKEI: Sarawak bukan sahaja dikenali sebagai wilayah yang aktif dalam pembangunan sosial dan ekonomi malah turut dikenali dengan kemesraan dan keharmonian yang wujud dalam kalangan pelbagai kaum yang menjadikannya satu keunikan di negeri ini.
 
Menurut Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato' Sri Huang Tiong Sii keharmonian di Sarawak dapat dilihat melalui kerjasama antara masyarakat pelbagai kaum dalam kehidupan seharian.
 
Katanya, Sarawak bertuah kerana dipimpin oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang bijaksana dan berwawasan.
 
“Sarawak bukan sahaja dikenali sebagai satu wilayah yang aktif dalam pembangunan sosial dan ekonomi, Sarawak juga turut dikenali dengan kemesraan dan keharmonian yang wujud dalam kalangan pelbagai kaum serta telah menjadikannya satu keunikan di Sarawak.
 
"Keharmonian di Sarawak ini dapat dilihat melalui kerjasama antara masyarakat pelbagai kaum dalam kehidupan seharian. Keunikan ini menjadikan Sarawak sebagai contoh semangat perkauman yang harmoni di Malaysia,” beliau berucap semasa Majlis Ramah Tamah Aidilfitri bagi DUN Repok bertempat di Dewan Serbaguna Kampung Seberang Sarikei pada Ahad.
 
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok itu turut  berterima kasih kepada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak, Cawangan Repok kerana berjaya menganjurkan Majlis Ramah Tamah Hari Raya Aidilfitri yang meriah ini.
 
Beliau berharap penganjuran majlis sepetti ini dapat memperkukuh hubungan silaturrahim antara semua tanpa mengira agama dan bangsa.
 
Hadir sama Timbalan Residen Bahagian Sarikei Badjuri Bidin, Jurutera Majlis Daerah Sarikei Mohd Reza Rapaiee, Pengerusi Pengelola Selaku Ketua Cawangan Parti PBB N.45 Repok Horaira @ Horairah Hanapi, Ketua Wanita PBB N45 Repok Joneh Rosli, Ketua Pemuda PBB N45 Fadillah Ali Seman, Ketua Belia PBB Cawangan Repok Dyg Nur Atiqah Zainirra Awang Zaini dan penduduk Kampung Sarikei. - EDISI UKAS