11 Tuntutan MA63 Berjaya Diselesaikan, Tujuh Dibawah PMX

Disiarkan pada 26 Dec 2024
Sumber Berita: UKAS



KOTA KINABALU: Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof pada September lepas dilaporkan berkata 11 tuntutan di bawah platform rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berjaya diselesaikan untuk Sarawak dan Sabah.

Memetik laporan berita BERNAMA pada Khamis, Dato Sri Fadillah memberitahu, tujuh daripadanya diselesaikan di bawah pentadbiran Perdana Menteri ke-10, Dato Seri Anwar Ibrahim.

"Tuntutan berkenaan antaranya melibatkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Sarawak sebagai Jabatan Teknik, penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas serta pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) 1995 [Akta 533] bagi melantik wakil kerajaan Sabah dan Sarawak sebagai anggota tetap LHDN.

"Penyelesaian turut merangkumi tuntutan berkaitan pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak, serta garis panduan khas penyerahan semula tanah dirizabkan bagi maksud Persekutuan di Sabah dan Sarawak," katanya.

Turut menarik perhatian katanya, pengumuman Anwar mengenai cadangan kerajaan untuk menaikkan kadar Pemberian Khas Sabah dan Sarawak kepada RM600 juta pada tahun hadapan ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada Oktober lepas.

Dalam pada itu, laporan berita tersebut turut menyatakan persediaan Sabah untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-17 yang semakin menghampiri.

Difahamkan, isu tempatan dijangka menjadi tumpuan dan bahan kempen pada PRN Sabah nanti terutama melibatkan pengurusan pendatang tanpa izin, peningkatan kos sara hidup, kemiskinan dan pembangunan dengan isu terhangat dijangka berkaitan pematuhan MA63.

Kerjasama erat kerajaan Sabah dan Persekutuan ketika ini telah memberi perkembangan positif dalam pelaksanaan apa terkandung dalam MA63 itu tahun ini malah di bawah Kerajaan Perpaduan banyak isu legasi yang membelenggu usaha pelaksanaan itu berjaya diselesaikan dalam masa singkat. -EDISI UKAS